Kelebihan Lailatul
Qadar
Firman Allah SWT yang bermaksud :
“Sesungguhnya Kami telah menurunkan
(al-Quran) ini pada Lailatul qadar. Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui
apa dia kebesaran lailatul qadar itu? Malam lailatul qadar lebih baik
daripada seribu bulan. Pada malam itu, turun malaikat dan Jibril dengan izin
Tuhan mereka kerana membawa segala perkara (yang ditakdirkan berlakunya pada
tahun yang berikut); Sejahteralah malam (yang berkat) itu sehingga terbit
fajar.” (Surah Al-Qadr: 1-5)
Di antara keistimewaan Ramadan juga ialah
adanya lailatul qadar, malam yang lebih baik daripada 1000 bulan. Dahulu, para
sahabat mengadu kepada Nabi Muhammad SAW berkenaan dengan umur dan kesempatan
untuk beribadat. Hal ini kerana umat pada zaman dahulu mempunyai jangka umur
panjang yang membolehkan mereka untuk beribadat lebih lama. Disebabkan itu,
para sahabat mengadu dengan baginda SAW. Maka, Allah SWT menganugerahkan satu
malam yang mana sesiapa yang mendapati malam tersebut merupakan satu keuntungan
yang besar bagi mereka. Malam itulah yang dinamakan lailatul qadar yang padanya
lebih baik daripada 1000 bulan (iaitu 83 tahun).
Ada juga beberapa fuqaha' yang
berpendapat lailatul qadar merupakan malam paling afdal daripada malam-malam
lain bahkan lebih afdal daripada malam Jumaat. Hal ini kerana keistimewaan yang
ada pada lailatul qadar tersebut.
Bilakah Waktu
Lailatul Qadar ?
Khilaf di antara ulama, bilakah
berlakunya malam lailatur qadar? Hal ini berikutan waktu lailatul qadar
tersebut dirahsiakan. Antara sebab dirahsiakan ialah untuk manusia
berlumba-lumba membuat kebaikan pada setiap malam, bukannya pada satu malam
sahaja. Dan juga, disebutkan disebabkan Lailatul qadar mempunyai kebaikan yang
banyak dan kemuliaan yang tinggi, maka disembunyikan waktunya.
Namun, ada hadis-hadis Nabi SAW yang
menceritakan berkenaan Lailatul qadar sebagai rujukan dan panduan dalam mencari
malam tersebut. Daripada Abu Sa'id Al-Khudri r.a, Nabi SAW bersabda
:
إِنِّي أُرِيتُ لَيْلَةَ الْقَدْرِ ثُمَّ
أُنْسِيتُهَا أو نُسِّيتُهَا فَالْتَمِسُوهَا في الْعَشْرِ الْأَوَاخِرِ في
الْوتْرِ
"Sesungguhnya
aku mengetahui (masa) Lailatul qadar. Kemudian aku dilupakan oleh Allah SWT.
Maka carilah malam Lailatul qadar pada 10 akhir (bulan Ramadan), pada setiap
malam ganjil." (Bukhari dan Muslim)
Sebagaimana yang diceritakan oleh Aisyah
r.a, apabila masuk 10 malam terakhir Ramadan, Nabi SAW akan menghidupkan
malam-malam tersebut dengan lebih berbanding malam-malam yang lain.[1]
Kebanyakkan fuqaha berpendapat dalam
menentukan waktu lailatul qadar ialah pada malam 27 Ramadan.[2]
Dan inilah yang dipegang oleh para pentahqiq di zaman moden. Mereka berpandukan
beberapa hujah:
1- Daripada Mu'awiyah r.a berkata, "Sesungguhnya Nabi SAW
bersabda mengenai malam Lailatul qadar iaitu malam ke-27".[3]
2- Ibnu Abbas r.a dalam
mentafsirkan Surah Al-Qadr, beliau menyatakan bahawa surah tersebut mempunyai
30 kalimah dan kalimah هي yang menunjukkan lailatul qadar berada pada kalimah yang
ke 27.[4]
Terdapat juga pendapat lain pada malam
ke-21 dan ada juga yang mengatakan pada malam ke-23.
Doa Apabila Bertemu
Dengan Lailatul Qadar
Berdasarkan riwayat daripada Aisyah r.a,
beliau bertanya kepada Nabi Muhammad SAW mengenai apakah yang digalakkan
apabila ia bertemu lailatul qadar? Lalu baginda SAW menggalakkan untuk membaca
doa ini:
اللهم إِنَّكَ عَفُوٌّ تُحِبُّ الْعَفْوَ فَاعْفُ
عَنِّي
“Wahai tuhanku,
sesungguhnya Engkau Maha Pengampun, menyukai kepada (orang yang memohon)
keampunan, maka ampunilah akan (dosa-dosa) aku.” (Ibnu Majah)
Cara Menghidupkan
Lailatul Qadar[5]
1- Martabat yang
tinggi: Menghidupkan sepenuh malam dengan ibadat-ibadat seperti solat, zikir,
baca Al-Quran dan sebagainya.
2- Martabat
pertengahan: Menghidupkan sebahagian besar malam dengan perkara-perkara ibadat.
3- Martabat yang paling
rendah: Solat Isyak berjemaah dan berazam untuk solat Subuh secara berjemaah
pada pagi keesokannya.
Disunatkan bagi sesiapa yang mendapat
lailatul qadar untuk tidak menceritakan kepada orang lain.
Hadis Nabi SAW,
مَن قام لَيْلَةَ الْقَدْرِ إِيمَانًا
وَاحْتِسَابًا غُفِرَ له ما تَقَدَّمَ من ذَنْبِهِ
"Sesiapa yang
menghidupkan Lailatul qadar dengan keimanan dan keinsafan maka diampunkan
dosa-dosanya yang terdahulu." (Bukhari)
Wallahu a'lam
Disediakan oleh
:
Muhamad Zuhaili
Saiman
Pengerusi Felo
MANHAL PMRAM 2012
**petikan daripada
buku karangan Muhamad Zuhaili Saiman yang berjudul "Ramadhan : Puasa &
Iktikaf"cetakan tahun 2009 dengan izin terbit Persekutuan Melayu Republik
Arab Mesir
[2] Hasyiah
Baijuri jilid 1, rujuk فقه الإسلامي و أدلته jilid ke-3 dan Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu
Muhammad Al-Kaf.
[5] Hasyiah
Baijuri jilid 1 dan Kitab التقريرات السديدة في المسئل
المفيد bab puasa
karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.
No comments:
Post a Comment