PENGERTIAN IKTIKAF
Dari sudut bahasa ialah : tinggal di sesuatu tempat
samada niat baik atau tidak.
Dari sudut syarak pula ialah : tinggal di dalam
masjid dalam tempoh tertentu.
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan (ingatlah) ketika Kami jadikan
Rumah suci (Baitullah) itu tempat tumpuan bagi umat manusia (untuk Ibadat Haji)
dan tempat yang aman; dan jadikanlah oleh kamu Makam Ibrahim itu tempat
sembahyang. dan Kami perintahkan kepada Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail (dengan
berfirman): "Bersihkanlah Rumahku (Kaabah dan Masjid Al-Haraam dari segala
perkara Yang dilarang) untuk orang-orang yang bertawaf, dan orang-orang yang
beriktikaf (yang tetap tinggal padanya), dan orang-orang yang rukuk dan
sujud". – Surah Al-Baqarah : 125
Firman Allah SWT yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu setubuhi
isteri-isteri kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid." – Surah
Al-Baqarah : 187
Kedua-dua ayat Al-Quran di atas menunjukkan bahawa
iktikaf merupakan suatu ibadah yang dilakukan di dalam masjid.
Daripada Aisyah r.a berkata :
أَنَّ النبي كان يَعْتَكِفُ الْعَشْرَ
الْأَوَاخِرَ من رَمَضَانَ حتى تَوَفَّاهُ
"Sesungguhnya Nabi SAW sentiasa
melakukan iktikaf pada 10 akhir Ramadan sehinggalah baginda SAW wafat. –
Bukhari
HUKUM
Hukum asal bagi iktikaf ialah sunat yang dituntut
pada bila-bila masa sahaja.
Afdal melakukan iktikaf pada 10 hari yang terakhir
di dalam bulan Ramadan kerana Nabi SAW melakukannya dan pada waktu tersebut
merupakan waktu berlakunya malam Lailatuk Qadar.
Selain daripada itu, hukum iktikaf juga mempunyai
beberapa hukum :
- Wajib apabila
seseorang yang bernazar untuk melakukan iktikaf.
- Haram iaitu iktikaf
isteri tanpa izin daripada suaminya dalam masa yang sama dibimbangi akan
berlaku fitnah.
- Makruh iaitu iktikaf
isteri yang cantik[1]
dengan izin suaminya beserta tidak dibimbangi akan berlaku fitnah.
SYARAT IKTIKAF
1) Niat
- Berdasarkan hadis
yang diriwayatkan oleh Sayidina Umar Al-Khattab r.a, Nabi SAW bersabda :
إنما
الْأَعْمَالُ بِالنِّيَّاتِ
"Sesungguhnya setiap amalan itu
beserta dengan niat."- Bukhari dan Muslim
- Memadai dengan niat
di dalam hati sahaja.
- Niat iktikaf juga
memadai samada dengan bertempoh atau tidak bertempoh seperti aku niat untuk
iktikaf, maka sudah memadai.
- Sekiranya niat wajib
seperti nazar maka wajib melakukannya. Sekiranya bernazar untuk iktikaf dalam tempoh
tertentu maka wajib mengikut tempoh tersebut.
- Sekiranya niat
iktikaf dengan tempoh yang berturut-turut seperti niat beriktikaf selama
sebulan berturut-turut, maka tidak boleh keluar daripada masjid tersebut selama
sebulan melainkan bagi menunaikan hajat.
Orang yang beriktikaf keluar dari masjid:
1- Niat iktikaf tanpa tempoh :
- Maka sekiranya
keluar samada untuk menunaikan hajat atau tanpa hajat, dan tidak berazam untuk
kembali beriktikaf maka terputus iktikafnya. Sekiranya kembali semula ke masjid
untuk beriktikaf, perlu berniat baru semula.
- Maka sekiranya
keluar dan berazam untuk kembali beriktikaf maka tidak perlu kepada niat yang
baru.
2- Niat iktikaf yang mempunyai tempoh :
- Sekiranya keluar daripada
masjid tanpa ada hajat, maka perlu kepada niat baru apabila kembali ke masjid
untuk beriktikaf, selama mana ketika keluar daripada masjid tidak berazam untuk
kembali ke masjid. Sekiranya berazam, ketika keluar maka tidak perlu kepada
niat yang baru.
- Sekiranya keluar
untuk menunaikan hajat maka tidak perlu kepada niat yang baru apabila kembali
semula ke masjid.
2) Tinggal di dalam
masjid
- Tidak memadai
tinggal di dalam masjid dengan kadar tomakninah iaitu kadar menyebut Subhanallah.
Sekiranya lebih daripada kadar tersebut, maka terhasilnya iktikaf.[2]
- Terhasil juga
iktikaf walaupun berulang alik di dalam masjid. Sekiranya seseorang yang
semata-mata melalui di dalam masjid dengan memasuki pintu depan masjid kemudian
terus keluar melalui pintu yang lain, maka tidak terhasil iktikafnya.
SYARAT ORANG YANG BERIKTIKAF
1) Islam
- Bermula awal iktikaf
dan berterusan sehingga tamat iktikaf.
- Sekiranya murtad
maka batal iktikafnya. Jika melibatkan iktikaf yang bertempoh maka dikira
batal, dan jika kembali Islam mesti dimulai dengan tempoh yang baru.
2) Berakal
- Tidak disyaratkan
baligh, maka budak yang mumaiyiz sah akan iktikafnya.
- Tidak sah iktikaf
orang gila dan orang yang mabuk dengan sengaja.
- Jika gila ketika
iktikaf walaupun sekejap, batal iktikafnya.
3) Suci daripada haid,
nifas dan junub
- Haram orang yang
tidak suci untuk duduk di dalam masjid.
Sunat bagi iktikaf :
1- Melakukan iktikaf di masjid yang didirikan solat
Jumaat padanya.
2- Berpuasa.
3- Memperbanyakkan ibadat seperti solat, zikir,
membaca Al-Quran dan sebagainya.
5- Meninggalkan perkara-perkara yang makruh dan lalai.
6- Berniat nazar untuk mendapatkan pahala fardu.
Perkara Yang Membatalkan Iktikaf :
1- Murtad
- Batal iktikaf
walaupun sekejap.
- Firman Allah SWT
yang bermaksud :
"Demi sesungguhnya! jika engkau
(dan pengikut-pengikutmu) mempersekutukan (sesuatu yang lain Dengan Allah)
tentulah akan gugur amalmu, dan engkau akan tetap menjadi dari orang-orang yang
rugi." – Surah
Az-Zumar : 65
2- Gila dan pengsan
- Yang berpanjangan.
3- Mabuk dengan sengaja.
- Jika mabuk dengan
tidak sengaja maka tidak batal iktikaf.
4- Keluar darah haid dan nifas.
- Jika keluar darah
haid tersebut, maka wajib segera keluar dari masjid kerana haram duduk di dalam
masjid dalam keadaan yang berhadas.
5- Jimak (bersetubuh)
- Iaitu orang yang
jimak dalam keadaan sedar, tahu akan haram dan batal iktikaf jika melakukan
jimak.
- Bukan dipaksa.
- Firman Allah SWT
yang bermaksud :
"Dan janganlah kamu setubuhi isteri-isteri
kamu ketika kamu sedang beriktikaf di masjid." – Surah Al-Baqarah : 187
6- Keluar air mani.
- Batal iktikaf
sekiranya keluar air mani secara langsung dengan syahwat.
- Sekiranya bukan
secara langsung seperti melihat aurat dan khayal tidak batal iktikaf walaupun
keluar air mani. Akan tetapi sekiranya adat (kebiasaan) orang tadi
apabila melihat aurat atau khayal akan menyebabkan keluar air mani, maka waktu
itu iktikafnya akan batal sekiranya keluar air mani walaupun bukan dengan
secara langsung.
- Sengaja, bukan
dipaksa dan tahu akan jika keluar tanpa ada hajat maka akan batal iktikaf.
PERMASALAHAN : SESEORANG YANG LUPA NIAT IKTIKAF
KETIKA MEMASUKI MASJID, KEMUDIAN TERINGAT KETIKA SEDANG SOLAT. BOLEHKAH NIAT
IKTIKAF KETIKA SOLAT?
Boleh dengan syarat niat dengan hati tanpa
melafazkan kerana jika melafazkannya akan membatalkan solat (Ini adalah
pandangan Imam Ramli. Adapun pandangan Ibnu Hajar tidak mengapa melafazkan
dengan mana perkataan yang menunjukkan ibadat).[5]
Wallahu a'lam
Disediakan oleh :
Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012
**Petikan
daripada buku karangan Muhamad Zuhaili Saiman yang berjudul "Ramadan :
Puasa & Iktikaf" cetakan 2009 dengan izin terbit Persekutuan Melayu
Republik Arab Mesir
rujukan :
1- حاشية الشيخ
البيجوري cetakan Darul Kutub Ilmiah.
2- التقريرات
السديدة في المسائل المفيدة karangan
Syeikh Hasan bin Ahmad bin Muhammad Al-Kaf, cetakan Darul Mirath An-Nabawi.
3- فقه الإسلامي
وأدلته karangan Dr Wahbah Az-Zuhaily, cetakan Darul
Fikr.
4- نيل الرجاء
بشرح سفينة النجاء karangan As-Sayyid
Ahmad bin Umar As-Syatiri, cetakan Darul Minhaj.
5- Kitab Fatwa Syeikh
Atiyah Saqar 2 jilid, cetakan Maktabah Taufiqiyah.
[3]
Kitab
التقريرات السديدة في المسئل المفيد bab puasa karangan Syeikh Hasan
ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf dan Hasyiah Baijuri jilid 1 bab iktikaf.
[5]
Kitab
التقريرات السديدة في المسئل المفيد bab puasa karangan Syeikh Hasan
ibnu Ahmad ibnu Muhammad Al-Kaf.
No comments:
Post a Comment