Aug 11, 2012

Badar Al-Kubra : Penentu Kepada Kesinambungan Perjuangan Islam



Peperangan Yang Getir Dan Berat

Peperangan Badar al-Kubra tercetus pada 17 Ramadan tahun ke-2 Hijrah. Peperangan ini merupakan peperangan pertama yang menyaksikan pertempuran antara hak dan batil dan disebabkan itu hari berlakunya peperangan ini disebut juga sebagai Hari Pemisah (antara hak dan Batil) / يوم الفُرْقَان .

Peperangan ini merupakan satu amanah dalam perjuangan Islam yang sangat berat bahkan dahsyat. Hal ini demikian kerana dalam peperangan ini umat Islam berperang dalam keadaan berpuasa (puasa di bulan Ramadan kali yang pertama) ditambah lagi dengan bilangan tentera yang sedikit iaitu seramai 313 (menurut pendapat yang masyhur) berbanding dengan tentera pihak musyrikin iaitu 1000 orang. Bahkan kelengkapan peperangan umat Islam jauh lebih sedikit berbanding dengan pihak lawan.

Bukan sekadar itu, umat Islam baru sahaja membina negara Islam di Madinah dalam tempoh 2 tahun sudah diajak berperang. Maka banyak gerak kerja yang masih dilakukan.Malah para sahabat daripada kalangan Ansar baru sahaja memeluk Islam dan bersama-sama dengan Nabi SAW, maka sudah tentu kematangan dan pengalaman amat kurang. Justeru disebabkan itulah peperangan Badar al-Kubra ini merupakan peperangan yang getir dan sangat berat ke atas tentera Islam.

Penentu Kepada Perjuangan Islam

Peperangan Badar al-Kubra merupakan peperangan penentu kepada perjuangan Islam. Islam yang dirasai pada hari ini merupakan hasil jasa dan pengorbanan ahli Badar. Tanpa pengorbanan ahli Badar mana mungkin Islam akan terus berkembang sehingga ke hari ini.

Bahkan Nabi SAW dalam peperangan ini bermunajat kepada Allah SWT agar memberikan kemenangan secara tunai kerana ia merupakan penentu kepada kesinambungan dalam perjuangan Islam. Nabi SAW berdoa kepada Allah SWT :

اللهم أَنْجِزْ لي ما وَعَدْتَنِي اللهم آتِ ما وَعَدْتَنِي اللهم إن تُهْلِكْ هذه الْعِصَابَةَ من أَهْلِ الْإِسْلَامِ لَا تُعْبَدْ في الأرض

Wahai tuhanku! Tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku, datangkanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Wahai tuhanku, sekiranya Engkau (mengizinkan kepada pihak kafir) dengan menghancurkan tentera ini (tentera Badar Al-Kubra) daripada kalangan umat Islam ini, maka Engkau tidak akan disembah lagi (kerana tentera kafir akan membunuh semua umat Islam).

Jelas menunjukkan betapa pentingnya peperangan ini kerana ia merupakan penentu kepada kesinambungan Islam sehinggakan Nabi SAW memohon kepada Allah SWT agar diberikan kemenangan secara tunai bukan bertangguh.

Hal ini berbeza dengan doa atau amanat Nabi SAW dalam peperangan Khaibar. Baginda SAW menjelaskan bahawa kemenangan akan diperolehi di tangan satu lelaki yang mempunyai sifat kasih kepada Allah dan rasul-Nya serta lelaki tersebut dikasihi oleh Allah. Ini diriwayatkan oleh Sahl bin Sa’d r.a bahawa Nabi SAW bersabda :

لَأُعْطِيَنَّ هذه الرَّايَةَ غَدًا رَجُلًا يَفْتَحُ الله على يَدَيْهِ يُحِبُّ اللَّهَ وَرَسُولَهُ وَيُحِبُّهُ الله وَرَسُولُهُ

"Akan aku berikan panji (Islam) ini kepada seorang lelaki yang mana kemenangan akan diberikan kepadanya, yang mana sifat lelaki tersebut, dia mengasihi Allah dan rasul-Nya serta Allah dan rasul-Nya mengasihi lelaki tersebut." – Bukhari dan Muslim

Ini sahaja yang dijelaskan oleh Nabi SAW. Berbeza dengan gaya bahasa munajat Nabi SAW dalam doa baginda SAW ketika peperangan Badar al-Kubra iaitu “Wahai Tuhanku! Tunaikanlah apa yang telah Engkau janjikan kepadaku”. Munajat ini dibaca oleh Nabi SAW dengan begitu bersungguh apabila baginda SAW mengangkat tangan berdoa melebihi bahu sehingga jatuh kain selendang baginda SAW. Ketekunan baginda SAW yang teramat itu disedari oleh Abu Bakar as-Siddiq lalu beliau menenangkan baginda SAW dengan berkata :

يا نَبِيَّ اللَّهِ كَفَاكَ مُنَاشَدَتُكَ رَبَّكَ فإنه سَيُنْجِزُ لك ما وَعَدَكَ

“Wahai Nabi Allah, cukuplah (wahai rasulullah) akan munajat kamu, maka sesungguhnya Allah akan menunaikan kepada kamu apa yang telah Dia menjanjikan kepada kamu.”

Lalu turunlah firman Allah SWT bagi menenangkan baginda SAW dan menunaikan janji-Nya iaitu pertolongan Allah SWT ke atas umat Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud :

“(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut". (Surah An-Anfal : 9)

Faktor Kemenangan Islam Dalam Peperangan Badar al-Kubra

Kemenangan umat Islam dalam peperangan ini dapat dilihat kepada beberapa faktor utama iaitu :

1- Kebersamaan Semua Pihak Dalam Berjuang

Ketika diturunkan ayat diiziinkan berperang iaitu ayat ke-30 dan 40 dalam Surah al-Hajj, Nabi SAW menghimpunkan semua sahabat bagi mendapatkan pandangan dalam berperang. Apabila ditanya, maka bangkit Abu Bakar as-Siddiq dan Uamr al-Khattab dalam menyatakan pandangan mereka untuk terus bersama dalam peperangan ini.

Tidak sekadar itu, bangun pula Miqdad bin Amru (riwayat lain Miqdad bin Aswad) berkata :

يا رَسُولَ اللَّهِ لا نَقُولُ كما قالتْ بنو إِسْرَائِيلَ لِمُوسَى اذْهَبْ أنت وَرَبُّكَ فَقَاتِلا إلى آخِرِ الآيَةِ وَلَكِنَّا نَقُولُ اذْهَبْ أنت وَرَبُّكَ فَقَاتِلا انا مَعَكُمَا مِنَ الْمُقَاتِلِينَ

“Wahai Rasulullah SAW! Tidak akan kami katakan kepada kamu sebagaimana yang telah dikatakan oleh Bani Israil kepada Nabi Musa AS bahawa “pergilah kamu bersama-sama dengan tuhan kamu berperang, kami di sini duduk memerhati”, akan tetapi kami menjanjikan kepada kamu dengan kata-kata pergilah kamu (wahai Rasulullah SAW) berserta tuhanmu berperang, kami akan bersama-sama dengan kamu turut berperang”. – Mukjam Kabir

Nabi SAW terus mahu mendengar pandangan daripada wakil Ansar kerana tidak pelik sahabat daripada kalangan Muhajirin untuk turut serta berperang kerana mereka telah lama bersama-sama dengan baginda SAW dalam bersabar ke atas seksaan yang diterima di Mekah. Justeru, bangun Sa’d bin Muaz mewakili suara sahabat dari kalangan Ansar menyatakan sokongan :

فقد آمَنّا بِك وَصَدَّقْناك وشَهَدْنا أنَّ ما جِئْتَ به الحقّ وأعْطَيْناك مَواثيقَنا على السمْع والطاعة فامْضِ يا رسولَ الله لِما أَرَدْتَ فَنَحْنُ مَعَكَ فَوَالّذي بَعَثَكَ بالحقّ لَوِ اسْتَعْرَضْتَ بِنا هذا البَحْرَ لَخَضْناه مَعك ما تَخَلّفَ مِنّا رَجَلٌ واحد

Sesungguhnya kami beriman kepadamu, membenarkan kamu serta menyaksikan apa yang kamu bawa adalah benar. Dan kami berikan kepada kamu seluruh kepercayaan kami ke atas taat dan patuh. Wahai Rasulullah SAW, lakukanlah apa yang kamu kehendaki, kami akan sentiasa bersama-sama denganmu. Dan demi tuhan yang membangkitkan kamu dengan kebenaran, sekiranya dibentangkan kepada kami lautan yang luas, nescaya kami akan menyeberangi lautan tersebut bersama-sama kamu, dan tidak akan ada daripada kalangan kami seorang lelaki yang lambat (bersama-sama dengan Rasulullah SAW).

Kebersamaan para sahabat samada daripada kalangan Muhajrin dan Ansar memberikan salah satu faktor utama kemenangan dalam peperangan Badar Al-Kubra. Sahabat daripada kalangan Muhajirin sememangnya bersedia untuk berperang sejak di Mekah lagi apabila ramai para sahabat yang diseksa, namun mereka masih tidak diizinkan berperang.

Manakala sahabat daripada kalangan Ansar pula, baru sahaja hidup bersama-sama dengan Nabi Muhammad SAW selama 2 tahun di Madinah dan tidak pernah mendapat ujian yang hebat dan berat berbanding dengan sahabat daripada kalangan Muhajirin. Namun mereka tetap bersama-sama untuk turut serta memerangi pihak musuh malah tidak menjadi halangan kepada mereka walaupun mereka masih baru.

2- Mengikuti Hasil Keputusan Mesyuarat

Peperangan Badar al-Kubra menunjukkan keputusan mesyuarat dalam kebersamaan oleh para sahabat dalam berperang sebagaimana yang telah dijelaskan di atas. Maka ini merupakan antara faktor utama kemenangan kerana syura atau suatu kemestian dalam Islam bahkan ia dikira sebagai ibadah dan sistem.

Selain itu, apabila tentera Islam sampai di tempat perang, Nabi SAW sekali lagi bermesyuarat dengan para sahabat mengenai di lokasi mana kedudukan yang sesuai bagi tentera Islam. Lalu majoriti memilih untuk berada di hadapan lopak air bagi menghalang pihak musyrikin Mekah daripada mendapat bekalan air.

Justeru, hasil mesyuarat ini merupakan keberkatan dalam perjuangan Islam. Saidina Ali menyebutkan bahawa 7 kepentingan dalam bermesyuarat antaranya ialah mencari kebenaran, mematangkan pandangan, mengelak daripada perkara terlepas pandang dan mengikuti sunnah. - kitab karangan Muhammad Abdullah al-Khatib, yang berjudul as-Syura : Faridah, Ibadah, Nizam

3- Matlamat Perjuangan Yang Jelas Dan Benar

Antara lagi faktor kejayaan tentera Islam dalam peperangan ini ialah para sahabat berperang atas dasar matlamat yang jelas dan benar iaitu mempertahankan hak Islam dan kerana mereka dizalimi. Disebabkan itulah Allah SWT mengizinkan berperang melalui firman-Nya :

“Diizinkan berperang bagi mereka yang dizalimi. Sesungguhnya Allah berkuasa memberikan mereka kemenangan. Mereka yang dizalimi ialah mereka yang dihalau keluar dari rumah-rumah mereka tanpa hak kerana mereka mengtakan: Tuhan kami ialah Allah.” (Surah Al-Hajj : 39 dan 40)

Justeru, maka inilah semulia-mulia perjuangan apabila matlamat yang mereka perjuangkan adalah untuk Islam. Maka sudah tentu kemenangan akan berpihak kepada mereka kerana kemenangan adalah hak milik Allah SWT dan Dia berkuasa dalam memberikan kemenangan tersebut. Sehubungan itu, sudah tentu kemenangan akan diberikan kepada mereka yang berjuang kerana-Nya. Firman Allah SWT :

“Tidaklah kemenangan itu melainkan ia adalah hak di sisi Allah.” (Surah Al-Anfal : 10)

4- Hasil Pengorbanan Dan Kesabaran

Kemenangan yang dikecapi bukanlah satu perkara yang mudah. Hal ini demikian kerana perjuangan Islam itu jauh dan berat, hanya bagi mereka yang bersabar dan sanggup berkorban sahaja akan diberikan kemenangan oleh Allah SWT.

Begitu juga dalam peperangan ini, kemenangan yang diberikan merupakan anugerah dan hadiah ekoran pengorbanan dan kesabaran yang telah diberikan oleh para sahabat terutama dariapada daripada kalangan Muhajirin. Antara yang boleh diambil contoh ialah Nabi SAW menegur dan menasihati Khabbab agar bersabar dan tidak gopoh dalam mencapai kemenangan.

Terdapat juga sebahagian sahabat yang berjumpa dengan Nabi SAW ketika di Mekah lalu mengadu :

“Kami ketika dalam keadaan musyrik merupakan golongan yang diberikan kemuliaan (oleh penduduk Mekah), namun apabila kami beriman kami dihina (oleh musyrikin Mekah).”

Lalu Nabi SAW menasihati mereka :

“Sesungguhnya aku diperintahkan untuk memberi kemaafan (bersabar) dan janganlah kamu berperang.” – kitab yang berjudul al-Idarah Fi ‘Asr ar-Rasul, karangan Dr Hafeez Ahmad ‘Ajaj al-Karami

Kemenangan Hak Milik Islam Dan Keistimewaan Ahli Badar

Atas usaha tentera Islam sebagaimana yang dinyatakan dalam faktor kemenangan tersebut maka Allah menganugerahkan kemenangan kepada mereka. Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud :

“(Ingatlah), ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhanmu, lalu diperkenankan-Nya bagimu: "Sesungguhnya Aku akan mendatangkan bala bantuan kepada kamu dengan seribu malaikat yang datang berturut-turut. Dan tidaklah Allah jadikan bagi mereka melainkan berita gembira dan menenangkan hati-hati mereka. Dan tidaklah kemenangan itu melainkan ia hak di sisi Allah. Sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (Surah An-Anfal : 9)

Maka inilah anugerah yang cukup besar buat umat Islam. Kemenangan yang dikecapi bukan sekadar kemenangan memperolehi hak mereka atau mengundurkan pihak musuh daripada menyerang Islam. Akan tetapi kemenangan ini merupakan titik kesinambungan Islam sehingga ke hari ini. Kemenangan ini merupakan perintis bagi Islam akan terus tersebar ke seluruh pelusuk dunia sehingga kiamat sebagaimana yang dimunajatkan oleh Nabi SAW.

Bahkan ahli Badar iaitu seramai 313 orang mendapat keistimewaan daripada Allah SWT yang tidak dimiliki oleh tentera Islam dalam perang-perang yang lain. Mereka diampun dosa mereka dan dijanjikan syurga sehingga sebagaimana dalam sirah dicatat bahawa seorang ahli Badar iaitu Hatib bin Abi Balta’ah yang diampunkan dosanya kerana hampir-hampir membocorkan perancangan perjuangan Islam. Namun disebabkan beliau meruapakan salah seorang ahli Badar, maka Nabi SAW melepaskannya daripada dipancung oleh Umar al-Khattab.

Kisah Hatib bin Abi Balta’ah yang hampir-hampir membocorkan rahsia perancangan Nabi Muhammad SAW untuk memerangi pihak musyrikin Mekah kerana mencabuli isi perjanjian Hudaibiyah, menjadi satu peringatan yang sangat penting kepada pemuda Islam yang berjuang. Saidina Umar Al-Khattab meminta izin kepada baginda SAW untuk memenggal kepala Hatib bin Abi Balta’ah kerana telah berniat membocorkan rahsia, namun tidak diizinkan oleh baginda SAW kerana Hatib bin Abi Balta’ah merupakan ahli tentera yang menyertai peperangan Badar Al-Kubra. Sekiranya bukan, maka sudah tentu hukuman bunuh akan dijatuhkan!

Jelas bahawa perbuatan membocorkan rahsia gerakan Islam adalah tindakan yang tidak berakhlak dan merupakan satu kesalahan yang sangat besar sehingga boleh dijatuhkan hukuman bunuh. Kisah berkaitan Hatib bin Abi Balta’ah ini diriwayatkan oleh Ubaidullah bin Abu Rafi bahawa Saidina Ali menceritakan ketika baginda SAW mengetahui ada pihak yang cuba untuk membocorkan rahsia perancangan mereka untuk menyerang Mekah, lalu baginda SAW mengutuskan Saidina Ali, Zubair dan Miqdad bin Aswad untuk pergi mengejar hamba wanita yang diutuskan oleh Hatib bin Abi Balta’ah untuk menyekatnya.

Ketika mereka menemui hamba wanita tersebut lalu, maka mereka meminta hamba wanita tersebut mengeluarkan catatan rahsia yang ingin disampaikan ke Mekah. Lalu hamba wanita tadi enggan memberikannya. Kemudian mereka mendesak lagi dengan berkata :

لَتُخْرِجِنَّ الْكِتَابَ أو لَنُلْقِيَنَّ الثِّيَابَ

“Kamu akan keluarkan catatan rahsia tersebut atau kami akan menanggalkan pakaian kamu (untuk mencari catatan tersebut sehingga jumpa)!”

Kemudian hamba wanita tersebut mengeluarkan catatan rahsia tersebut yang disimpan di dalam sanggulnya dan diberikan kepada mereka. Mereka pun membawa perkara itu kepada baginda SAW. Lalu Hatib bin Abi Balta’ah dipanggil menghadap baginda SAW. Hatib bin Abi Balta’ah memberikan penjelasan dengan berkata :

لَا تَعْجَلْ والله ما كَفَرْتُ ولا ازْدَدْتُ لِلْإِسْلَامِ إلا حُبًّا ولم يَكُنْ أَحَدٌ من أَصْحَابِكَ إلا وَلَهُ بِمَكَّةَ من يَدْفَعُ الله بِهِ عن أَهْلِهِ وَمَالِهِ ولم يَكُنْ لي أَحَدٌ فَأَحْبَبْتُ أَنْ اتخذ عِنْدَهُمْ يَدًا

“Wahai Rasulullah, janganlah kamu segera menghukumku (meminta baginda SAW mendengar penjelasannya terdahulu). Demi Allah SWT! Aku tidak lagi kufur (murtad), dan tidaklah bertambah ke dalam jiwaku mengenai Islam melainkan kecintaan (kepada Islam). Sesungguhnya para sahabat yang lain yang mempunyai ahli keluarga di Mekah, mereka mempunyai pihak-pihak yang mampu melindungi ahli keluarga mereka, adapun aku tidak ada mana-mana pihak yang akan melindungi keluargaku di sana. Justeru, aku berhajat untuk memberikan pertolongan kepada mereka.”

Mendengar penjelasan Hatib bin Abi Balta’ah tersebut, Saidina Umar Al-Khattab bersuara :

دَعْنِي أَضْرِبْ عُنُقَهُ فإنه قد نَافَقَ

“Izinkan aku (wahai Rasulullah SAW), aku akan penggal lehernya, maka sesungguhnya dia telah menjadi munafiq (dengan perbuatan membocorkan rahsia)!”

Kemudian baginda SAW bersabda :

أَلَيْسَ من أَهْلِ بَدْرٍ لَعَلَّ اللَّهَ أطلع إلى أَهْلِ بَدْرٍ أعملوا ما شِئْتُمْ فَقَدْ وَجَبَتْ لَكُمْ الْجَنَّةُ أو فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ

“Bukankah dia (Hatib bin Abi Balta’ah) merupakan ahli Badar? Allah SWT telah memberikan keistimewaan kepada ahli Badar. Maka lakukanlah apa yang kamu mahu, sesungguhnya Allah SWT telah menjanjikan kamu syurga dan mengampunkan dosa-dosa kamu.” – Bukhari

Wallahu ‘alam

Disediakan oleh :

Muhamad Zuhaili Saiman
Pengerusi Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan :
-      As-Syura ; Faridah, Ibadah, Nizam karangan Muhammad Abdullah al-Khatib
-      Al-Idarah Fi ‘Asr Ar-Rasul, karangan Dr Hafeez Ahmad ‘Ajaj al-Karami
-      As-Sirah an-Nabawiyah karangan Dr Muhammad Ali as-Sollabi
-      Pemuda Islam Yang Berjuang siri 1 & 2 karangan Muhamad Zuhaili Saiman

Sumber : manhal-pmram

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015