بسم الله الرحمن الرحيم.....
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT diatas segala rahmat dan limpah kurnianya sekali lagi kita semua berpeluang untuk menemui bulan yang mulia lagi barakah ini iaitu bulan Ramadhan 1431H.
Ramadhan merupakan penghulu segala bulan yang hanya datang sekali sahaja dalam setahun. Bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang sangat istimewa buat umat Islam sebagaimana sabda baginda SAW :
إذا جاء رمضان فتحت أبواب الجنة وغلقت أبواب النار وصفدت الشياطين
Bermaksud: “apabila tiba bulan Ramadhan maka terbuka pintu-pintu syurga dan tertutup pintu-pintu neraka dan syaitan-syaitan dibelenggu” – H.R. Muslim
Kedatangan Ramadhan sebenarnya berbeza setiap tahun bagi kita kerana usia kita yang semakin meningkat dan matang. Sebagai seorang Muslim, marilah kita sama-sama menghayati dan memanfaatkan sepenuhnya bulan Ramadhan kali ini. Sebagaimana yang kita ketahui, bulan Ramadhan merupakan bulan ibadat puasa. Selain itu, bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang berkait rapat dengan keikhlasan dalam melakukan ibadah puasa. Sebagai contoh, bilamana seseorang hamba itu berpuasa dia boleh berbuka puasa bila-bila masa sahaja tanpa diketahui oleh orang lain. Tetapi kerana keikhlasan dan ketaqwaannya kepada Allah SWT yang maha mengetahui zahir dan batinnya, maka ia tidak melakukannya.