ZAGAZIG, 3 Julai – Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig (DPMZ)di bawah anjuran Unit Dakwah dan Pembangunan Insan (UDPI) telah mengadakan program Kolokium Ilmuan siri ke -4 (Q) bertempat di Dewan Darul Wehdah, Zagazig. Program ini telah bermula seawal jam 11.00 pagi dan telah dihadiri seramai 30 orang peserta yang terdiri daripada pelajar-pelajar Perubatan dan Al Azhar tahun 1.
Para peserta telah dihidangkan dengan pembentangan dua kertas kerja iaitu Amar Ma’ruf Nahi Mungkar dan Nasionalisme.
Pembentangan kertas kerja pertama iaitu Amar Ma’ruf Nahi Mungkar telah dikupas oleh Al Fadhil Ustaz Arifuddin dari negeri Kelantan manakala, kertas kerja Nasionalisme telah dibentang dan dikupas oleh Al Fadhil Ustaz Azrul B Ismail dari negeri Perak .
Bertepatan dengan tema Kolokium Ilmuan pada tahun ini iaitu “Memperkasa Generasi Ulama’”, tidak lain bertujuan menjadikan generasi-generasi pewaris nabi memahami dengan mendalam akan konsep amar ma’ruf nahi mungkar yang sebenar dan seterusnya mempraktikkan konsep tersebut dalam konteks kehidupan seharian. Selain itu, konsep ini juga dapat membangkitkan semangat keberanian dalam diri agar tidak takut dan gentar dalam menjalankan segala perintah Tuhan Pencipta Alam. Laungan semangat kebangsaan ataupun nasionalisme dalam mempertahankan negara yang selama ini dilaung-laungkan telah diulas lanjut dan diberi kefahaman yang sohih oleh pembentang.
Program ini berakhir pada jam 4.30 petang dan diakhir dengan jamuan ringan.