Jan 10, 2012

Hikmah Sebalik Bulan Safar


Jika Muharam bermula dengan niat, azam dan tekad yang baru untuk menghijrahkan diri pada keimanan, apa pula kisahnya di bulan kedua dalam kalendar Hijrah bagi tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi) dalam Islam iaitu bulan Safar yang sedang kita jalani kini?

Safar bererti kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka. Antara peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam pada bulan ini ialah Peperangan Al-Abwa pada tahun kedua Hijrah, Peperangan Zi-Amin pada tahun ketiga Hijrah dan Peperangan Ar-Raji (Bi’ru Ma’unah) pada tahun keempat Hijrah.

Di Malaysia, pada bulan ini, terdapat segelintir umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan syariat Islam. Dikatakan juga bulan Safar ini sebagai bulan bencana. Adakah setiap musibah atau bencana yang berlaku itu hanya di bulan Safar? Jika benar, bagaimana dengan banjir besar dalam dua fasa di Johor yang lalu dan pelbagai bencana menggemparkan melanda seluruh umat sepanjang 11 bulan lain pada setiap tahun? Logik akal sudah menjelaskan betapa dangkal,batil dan jahilnya pengamal adat, budaya dan kepercayaan karut sedemikian. Firman Allah SWT telah berfirman yang bermaksud:

“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakkallah orang-orang yang beriman.”

(Surah At-Taubah, Ayat: 51)

Dan Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,

“Tiada jangkitan dan tiada keburukan binatang terbang dan tiada kesialan bulan Safar dan larilah (jauhkan diri) daripada penyakit kusta seperti mana kamu melarikan diri dari seekor singa.”

(Hadith Riwayat Bukhari)

Berbeza dengan keadaan kita, musim Syita’ di Mesir jatuh pada bulan Safar menandakan bahawa Imtihan fasal pertama telah tiba. Jika orang Arab terdahulu mengosongkan rumah mereka dari segi fizikal, dan jika selepas kedatangan Islam, berlaku peperangan untuk menegakkan kalimah yang Haq di atas muka bumi ini, kita, sebagai mahasiswa Islam keluar untuk ‘berperang’ dari sudut mental,melengkapkan diri dengan senjata iman dan perisai takwa. Justeru,imtihan juga menguji jiwa kita selaku ‘hamba’ Safar kerana hakikatnya manusia itu tidak memiliki apa-apa melainkan jiwa yang dekat kepadaNya. Namun janganlah pula menjadikan imtihan sebagai satu sudut medan tarbiyah rohani lebih berbanding bulan-bulan sebelum atau selepasnya. Pengharapan kepada Allah itu penting, namun didahului dengan usaha terbaik dan strategi yang mantap. Setinggi dan sebijak mana pun seseorang hamba maka akhirnya pergantungan itu kembali kepada Allah. Jiwa yang ‘kosong’ itu hendaklah dipenuhi dengan aliran keimanan. Jadilah hamba ‘Safar’ yang sentiasa memenuhi jiwa dengan amalan yang diredhai Allah SWT.

Wallahu ta’ala a‘alam…

Muhammad Nasuha Bin Mohd Zakariah.
Timbalan Setiausaha Agung,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig,
Sesi 2011/2012.

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015