Satu sejarah yang
sangat bermakna bagi umat Islam, dan telah di rakamkan dalam Al Quran:
Di dalam Al Quran Allah ada menceritakan
tentang kisah tentera bergajah dan juga burung Ababil. Tetapi perlu di ingatkan
Al-Quran itu bukan cerita yang dibuat-dibuat tetapi Al-Quran itu menjelaskan
segala sesuatu dan pada kisah-kisah tersebut terdapat pelajaran bagi orang yang
berakal.
SURAH Al-Fil mengandungi lima ayat. Ia termasuk dalam kategori surah Makiyyah
dan di turunkan selepas surah Al-Kafirun.
Hubungan surah ini dengan surah
Al-Humazah ialah dalam surah Al-Humazah, Allah SWT menjelaskan bahawa harta
tidak dapat menjauhkan daripada seksaan Allah SWT. Dalam surah ini Allah SWT
menyatakan bukti tentang perkara di atas menerusi kisah tentera bergajah.
Abrahah merupakan seorang Raja yang
angkuh, dia telah mendirikan sebuah gereja yang paling besar di Yaman yang
dinamakan Al-Qulais.
Abrahah menghantar wakil-wakilnya ke
seluruh suku kaum Arab untuk mengerjakan haji di gereja tersebut, padahal
orang-orang Arab mengangungkan Kaabah, BaitulAllah. Hasilnya, timbul kemarahan
orang-orang Arab sehingga ada orang Arab yang pergi ke al-Qulais, membuang air
besar dan menyapu najisnya pada dinding Al-Qulais. Dan tentu sekali Abrahah
marah akan tindakan itu.
Bermulalah sejarah tentera Abrahah dengan
membawa gajah-gajah ingin menghancurkan Kaabah, tempat yang diagungkan suku
kaum Arab itu. Abrahah dengan yakin akan kekuatan tenteranya untuk
menyelesaikan misinya.
Apabila hampir tiba di Makkah, Panglima
Abrahah telah merampas dan membawa balik kepada beliau binatang-binatang
ternakan kaum Quraish dan merampas 200 ekor unta milik Abdul Mutalib (Datuk
Nabi SAW) dan pergilah Abdul Mutalib menuntut haknya kepada Abrahah.
Abdul Mutalib, "Serahkan kembali
milikku!".
Abrahah terkejut, kerana sangkaannya
Abdul Mutalib ingin memohon agar Kaabah tidak diruntuhkan. Abdul Mutalib
menyambung, "Unta-unta itu milik aku, dan Kaabah itu ada tuannya. Oleh itu
serahkan semula unta-untaku. Kalau Kaabah itu rumah Tuhan, pasti Tuhan menjaganya.
Kaabah ada Tuhan yang menjaganya!". Maka, Abrahah menyerahkan kembali
unta-unta itu dan tidak menganggu penduduk Makkah.
Pada hari yang dirancang, Abrahah dan
tenteranya ingin menuju terus ke Kaabah dan melunaskan hasrat mereka. Namun,
gajah-gajah yang ditunggani tidak mahu bergerak apabila dihadapkan ke arah
Kaabah. Jenuh di pukul dan di pukul gajah, tidak jua bergerak walau seinci.
Dan pada masa itulah kelihatan sekelompok
awan bergerak menuju ke arah mereka, dan yang sebenarnya itu burung-burung Ababil
yang membawa batu untuk dijatuhkan ke atas tentera Abrahah.
Bagi setiap batu kecil yang menimpa
tentera Abrahah, akan menanggalkan daging-daging mereka. Satu persatu tentera
dan gajah Abrahah gugur mati. Abrahah yang melihat keadaan itu mula berlari ke
belakang, namun dia juga tidak terkecuali terkena bisa hujan batu yang hanya di
bawa burung Ababil. Tubuh Abrahah telah menjadi sasaran anak-anak batu itu dan dia
menderita parah. Kerana itu ia telah dibawa keluar dari Makkah bersama-sama tenteranya,
sedangkan jari-jemarinya gugur sebatang demi sebatang sehingga sampai ke San'aa
ibu kota Yaman. Beliau tidak mati sehingga dadanya berlubang menampakkan
jantungnya. Tahun berlakunya peristiwa ini dinamakan Tahun Gajah.
Burung adalah sejenis binatang yang boleh
terbang dan sentiasa berada di udara. Adakalanya mendarat di kawasan tempat
tinggalnya. Di lihat dari sudut ketenteraan burung yang berpasukan-pasukan ini
adalah sebuah tentera udara.Bagaimana pula tentera udara ini menghancurkan
tentera darat? Dengan membawa batu yang terbakar iaitu sejenis bahan yang
sememangnya boleh terbakar. Maka batu yang terbakar itu diumpamakan seperti
bom. Jadi burung yang membawa batu terbakar itu adalah seperti jet yang membawa
bom-bom.
Kisah tentera bergajah dan burung Ababil
itu sememangnya kisah yang nyata di dalam Al-Quran.Sehingga di wahyukan dalam
surah ke 105 iaitu Surah Al-Fiil. Tetapi kisah tersebut bukan setakat mati di
situ sahaja sebagai cerita sejarah. Ia haruslah di ambil iktibar dan pelajaran.
Maka apa pelajaran yang boleh diambil dari kisah ini ialah untuk mengalahkan
tentera darat adalah melalui tentera udara! Allah Maha Besar. Allah itu Maha
Berilmu. Allah sudah mengajarkan kepada umat Islam strategi ketenteraan lebih
kurang 1400 tahun yang lampau.
Begitulah kisah Abrahah, dari seorang
panglima perang yang menjadi Raja Yaman dan kemudiannya menjadi bongkak dan
angkuh sehingga berani untuk menhancurkan Kaabah, rumah Allah. Tempat
menunaikan haji dan umrah sehingga ke saat ini. Maha Suci Allah yang Merancang
segala-galanya.
Pengajaran yang boleh diambil dari kisah
tersebut, jika Allah SWT menghendaki membinasakan sejumlah besar tentera walau
dengan seekor nyamuk sahaja, ia bukanlah suatu perkara yang mustahil bagi-Nya.
Ini mengandungi petunjuk yang lebih kuat
terhadap kekuasaan Allah SWT dan kebesaran kekuasaan-Nya berbanding kebinasaan
mereka yang disebabkan oleh burung-burung besar dan kejadian aneh yang boleh
memusnahkan manusia.
Selain itu, ia juga menunjukkan kelemahan
manusia dan kehinaannya di hadapan Allah SWT Yang Maha Kuasa. Sebabnya, mereka
adalah makhluk yang dapat dibinasakan oleh seekor lalat, digigit nyamuk di
tempat tidurnya dan ditimpa sakit oleh hembusan angin.
Perkara ini merupakan nikmat Allah SWT
yang di limpahkan kepada penduduk Tanah Haram-Nya meskipun mereka penyembah
berhala kerana melindunginya dengan kekuatan agama-Nya iaitu Nabi Muhammad SAW
meskipun Allah SWT menimpakan bencana kepada musuh-musuhnya iaitu tentera
bergajah yang ingin menghancurkan Baitu Haram yang tidak berdosa itu.
Apabila dihayati kembali sejarah lalu dan
dibawakankan pada rialiti dunia hari ini, sejarah mungkin berulang.
Dunia hari ini berhadapan dengan
penindasan yang amat dahsyat, Umat islam di tindas oleh puak kuffar. Berlakunya
pergolakan-pergolakan di negara-negara arab hari ini kerana kezaliman
pemerintah yang cintakan pangkat dan kekayaan dunia sehinggakan nyawa rakyat
tidak lagi berharga, anak kecil menjadi yatim piatu dan wanita menjadi balu,
rumah-rumah ibadat orang Islam di musnahkan.
Persoalannya mengapakah kita di zaman ini
dipermainkan sesuka hati oleh musuh Islam.
Mungkinkah kerana penyakit yang melanda
umat hari ini yang terlalu cintakan dunia dan takut mati.
Kepada semua saudara seislam, jangan
berhenti untuk terus mendoakan saudara-saudara Islam kita yang di tindas, kita
tidak mampu untuk mengangkat senjata untuk menolong mereka dan tidak mampu
menjadi sukarelawan negara, tidak mampu juga untuk menyumbangkan wang berjuta.
Tapi ingat saudaraku! Kita masih ada satu senjata iaitu doa kita untuk mereka.
Moga Allah menghantar pertolongannya
sepertimana Allah menghantar tentera ababil yang memusnahkan bala tentera
abrahah satu ketika dahulu.
Sesungguhnya agama islam adalah milik
Allah dan Allah pasti akan memelihara kesucianya.
ولا تايئسوا من
روح الله انه لا يايئس من روح الله الا القوم الكافرين
“Janganlah kamu
berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah, melainkan kaum yang kafir.”
Kemenangan islam pasti berlaku, janji
Allah itu pasti…
Sumber : ubs-pmram
No comments:
Post a Comment