Dec 16, 2009

Ahlan Wasahlan Ya Muharram.....

 
بسم الله الرحمن الرحيم ...                                             

          Hari ini, bermulalah detik-detik baru untuk kita sebagai syababul islam dalam menyambung dan meneruskan wasilah dakwah yang ditinggalkan oleh Rasulullah s.a.w, yang mana pada hari ini, sedar ataupun tidak, sudah setahun kita menjalani kehidupan yang penuh onak dan duri, sudah setahun kita manghadapi berbagai-bagai cabaran dan dugaan dalam memperjuangkan agama Allah s.w.t, sudah setahun berbagai-bagai amalan baik yang telah dilakukan yang sudah semestinya Allah s.w.t akan membalasnya dengan ganjaran yang tidak ternilai dan sudah setahun jugalah segala perbuatan buruk dan dimurkai Allah s.w.t tidak dapat diundur kembali walaupun dengan menangis sehingga keluar air mata darah sekalipun ia sememangnya telah berlalu dan tidak dapat diubah  melainkan dengan berdoa dan memohon keampunan dari Allah s.w.t.
          Tanggal 1 Muharram 1431H iaitu Tahun Baru Hijrah yang menjelma ini merupakan satu tarikh yang yang perlu dihayati dan direnungi oleh seluruh umat islam didunia ini. Tahun Baru Hijrah merupakan satu ungkapan yang perlu kita renungi dan singkapi mengenai pengertian disebalik perkataan ‘Hijrah’ ataupun ‘Penghijrahan’ yang sebenarnya.
          Cuba kita renungi kembali sejarah penghijrahan Rasulullah s.a.w ke Madinah yang telah mencetus satu perubahan besar dalam sejarah Umat Islam. Walaupun sebelum itu telah berlaku beberapa penghijrahan kecil seperti penghijrahan beberapa orang sahabat ke Habsyah dan Madinah namun ia hanya sekadar penghijrahan biasa sahaja. Walaupun dari sudut pandangan kasar kita, penghijrahan rasul ini dilihat seolah-olah seperti ‘undur ke belakang’ atau semata-mata melarikan diri dari kezaliman, cemuhan dan seksaan Musyrikin Mekah namun sebenarnya penghijrahan tersebut merupakan satu arahan dan perintah dari Allah s.w.t bagi meneruskan kewajipan sebagai seorang Rasulullah s.w.t untuk menegakkan Panji Islam dan melaksanakan suruhan Allah s.w.t di dalam mewujudkan satu ummah yang hidup bermasyarakat dan bernegara.
          Oleh itu sahabat-sahabat sekalian, tanamkanlah didalam diri kita sempena Tahun Baru Hijrah untuk kita berhijrah dari segala bentuk amalan dan perbuatan buruk kepada yang lebih baik dan mendapat keredhaan Allah s.w.t. Jadikan Hijrah ini sebagai satu titik permulaan bagi mengukuhkan keimanan, meningkatkan ketakwaan dan meneguhkan syariat islamiah agar kita menjadi individu Muslim yang aktif, positif, produktif dan inovatif agar bersesuaian dengan firman Allah s.w.t yang bermaksud :
“Kamu merupakan sebaik-baik Ummah yang telah dikeluarkan untuk seluruh umat manusia…..“

Selamat datang 1431H… 




Muhammad Shobri Mad Yaakub,
Ketua Unit Dakwah & Pembangunan Insan,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig,
Sesi 2009/2010.


No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015