Feb 14, 2010

Mengenali Hakikat Valentine`s Day (Hari Kekasih)



Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh....

       Tanggal 14 Februari merupakan satu tarikh yang ditunggu-tunggu oleh remaja-remaja masa kini diseluruh pelusuk dunia yang mana pada hari tersebut kononnya hari bagi pasangan kekasih mempamerkan rasa kasih sayang mereka terhadap pasangan masing-masing dengan mengutuskan surat-surat cinta,saling bertukar-tukar bunga yang mana bunga ros merah merupakan lambang utama hari tersebut. Sebelum  mulut berbicara cinta, sebelum tangan menukil rasa, sebelum jasad  disiksa neraka, kita singkap kembali sejarah 14 Februari yang dikatakan Hari Kekasih @ Valentine’s Day..  
       Suatu masa dahulu, Kaisar Claudius II menganggap bahawa, tentara muda yang tabah dan kuat di medan perang adalah daripada kalangan orang-orang yang berkahwin. Lalu, Kaisar melarang muda mudi daripada berkahwin. Namun St.Valentine dalam diam-diam melanggarnya dengan mengahwinkan banyak muda mudi sehinggalah dia ditangkap dan dihukum gantung pada 14 Februari 269 M.

      Pada asalnya, amalan mengirim kad Valentine tiada kaitan langsung dengan St. Valentine. Pada 1415M ketika the Duke of Orleans dipenjara di Tower of London, pada perayaan hari gereja mengenang St.Valentine iaitu pada 14 Februari, beliau telah mengirim puisi kepada isterinya di Perancis. Kemudian Geoffrey Chaucer, penyair Inggeris mengaitkannya dengan musim kahwin burung dalam puisinya. 

       Lalu, bagaimana pula dengan ucapan “Be My Valentine”? Ken Sweiger dalam artikel “Should Biblical Christians Observe It?”  mengatakan bahawa perkataan “Valentine” berasal dari Latin yang bermaksud “Yang Maha Kuasa, Yang Maha Kuat dan Yang Maha Kuasa “. Kata-kata ini ditujukan kepada Nimrod dan Lupercus, iaitu tuhan orang Rom. Jadi, jika kita meminta orang menjadi “to be my Valentine”, itu bermakna dalam tidak sedar kita telah melakukan perbuatan yang dimurkai Allah S.W.T kerana meminta seseorang menjadi “Sang Maha Kuasa” dan sekaligus menghidupkan budaya pemujaan kepada berhala. Dalam Islam, hal ini disebut Syirik, iaitu menyekutukan Allah S.W.T. Adapun Cupid iaitu “the desire”, si bayi bersayap dengan panah adalah putera Nimrod “the hunter” iaitu Dewa Matahari. Ia juga dinamakan Tuhan Cinta kerana rupanya yang rupawan sehingga ia menjadi buruan wanita dan sampai kepada berzina dengan ibunya sendiri.

       Sahabat sahabiah sekalian, itulah sejarah Valentine's Day yang sebenarnya, yang keseluruhannya tidak lain dan tidak bukan bersumberkan daripada paganisme (fahaman orang yang tidak beragama) orang musyrik, penyembahan berhala dan penghormatan pada paderi. Bahkan tiada kaitan langsung dengan “kasih sayang”. Jadi, kenapa kita masih juga menyambut Hari Valentine? Adakah ia merupakan hari yang istimewa? Adat? Atau hanya ikutan semata-mata tanpa tahu asal-usulnya? Bila perkara demikian berlaku, adalah sesuatu yang sangat mengecewakan jika ramai dikalangan muda mudi ataupun remaja-remaja Islam yang terikut-ikut dengan penyakit dan terjebak dengan budaya Barat dan acara ritual agama lain. Allah S.W.T  berfirman: “Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mengetahui tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya akan diminta pertangggungjawabnya “ (Al Isra ': 36).

        Jadi, sahabat sahabiah sekalian, sama-samalah kita menilai dahulu sesuatu perkara itu sebelum kita melakukannya dengan menggunakan kebijaksanaan akal dan fikiran yang Allah S.W.T kurniakan kepada kita kerana setiap perkara yang kita lakukan itu akan dicatit dan dinilai diakhirat kelak. Semoga kita tergolong dikalangan orang-orang yang bertakwa.

Wallahu’alam….

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015