Nov 20, 2011

Ukhuwwah Islamiah Batu Asas Kesatuan Ummah



بسم الله الرحمن الرحيم


           Assalamualaikum wbt... pada bulan ini, Unit Biah Solehah telah menyediakan artikel yang bermanfaat untuk sahabat sekalian. Tema pada bulan ini berkenaan dengan “Tautan Ukhuwwah” dan juga “Memperkasakan Solat Berjemaah”.  Pada artikel yang pertama ini, kami mengeluarkan artikel berkenaan “Ukhuwwah”. Moga ini memberi kita pengajaran terbaik bagi mewujudkan lagi Biah Solehah (suasana yang sejahtera).


MAKNA UKHUWWAH

            Ukhuwwah adalah anugerah daripada Allah SWT, yang dikurniakan kepada mereka yang ikhlas di  dan kalangan hamba-Nya para penolongnya, pengikut dan kelompoknya yang berjiwa bersih dan suci.

DALIL PERTAMA

Allah SWT telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud :

“Dialah yang menguatkanmu dengan pertolonganNya dan dengan (sokongan) orang-orang yang beriman. (62) Dan (Dialah) yang menyatu-padukan di antara hati mereka (yang beriman itu). Kalaulah engkau belanjakan segala (harta benda) yang ada dibumi, nescaya  engkau tidak dapat juga menyatupadukan di antara (hati) mereka. Sesungguhnya Ia Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”(63)

[Surah Al-Anfal, Ayat 62-63]

Pengajaran ayat ini sungguh tepat kerana ukhuwah yang terbina itu bukanlah dengan kebendaan yang melimpah ruah, tetapi ia anugerah daripada Allah SWT bagi hamba yang ikhlas dan suci. Kita bagaimana? Adakah kita berukhuwah kerana ada kepentingan atau kerana Allah? Ia ada pada anda….
Seterusnya…

        Inilah kekuatan Iman yang diwariskan oleh perasaan yang mendalam, jiwa yang benar dan mahabbah, kasih sayang dan rasa hormat, saling mempercayai, yang Allah ikatkan dengan AKIDAH TAUHID,  MANHAJ ISLAM YANG KEKAL dan BERILTIZAM dengannya. Saling membantu, mengutamakan orang lain, rasa kasihan belas, memberi kemaafan dan bertoleransi serta saling berintegrasi dan tolong-menolong.
Inilah perkara lazim kepada Iman:

“Tiada ukhuwah tanpa Iman, dan tiada keimanan yang sempurna tanpa ukhuwah, sepertimana tidak ada persahabatan tanpa taqwa, dan tiada ketaqwaan tanpa persahabatan.”-fahami sedalamnya-

DALIL KEDUA

Tiada ukhuwah tanpa keimanan, Firman Allah SWT yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang mu’min itu bersaudara.” (10)

[Surah Al-Hujurat, Ayat :10]


-Inilah dalil yang jelas sekali menunjukkan betapa Islam mengutamakan persaudaraan, bukannya perpecahan.

DALIL KETIGA

Tiada persahabatan tanpa taqwa adalah berdasarkan Firman Allah SWT:

“Pada hari itu sahabat-sahabat karib: setengahnya akan menjadi musuh kepada setengah yang lain, kecuali orang-orang yang persahabatannya berdasarkan taqwa (iman dan amal yang soleh).” (67)

 [Surah Al-Zukhuruf, Ayat : 67]

-Sukar dipercayai tetapi inilah hakikatnya. Sahabat karib sendiri menjadi musuh pada hari akhirat kelak. Ini kerana persahabatan yang terbina sekian lama di dunia bukan terbina atas dasar TAQWA tetapi sebaliknya. Jadi, marilah kita sama-sama perbaiki persahabatan ini agar ini terbina atas dasar TAQWA.

-Sambungan seterusnya akan menerangkan “Kedudukan Rukun Ukhuwwah”.

Ketua Unit Pengisian,
Unit Biah Solehah,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig,
Sesi 2011/2012.

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015