Aug 14, 2011

Ramadhan: Muhasabah dan Ibrah


Puasa menurut bahasa adalah menahan diri. Manakala menurut syara’ ialah pengekangan yang khusus, iaitu menahan diri dari makan dan minum dan perkara-perkara yang membatalkan puasa serta jima’ samaada puasa sunat atau wajib.
 
Makna lain bagi puasa iaitu:

1. Diam, bermakna mendiamkan diri dari perkataan yang tidak ada
faedahnya

2. Berhenti, bermakna berhenti dari segala perbuatan yang terlarang atau yang tidak ada faedahnya.

3. Berdiri, ertinya mendirikan ruhiyah atau meningkatkan kualiti rohani kita iaitu dengan memperkuatkan hati dan mengasah kesabaran.

4. Tempat yang tinggi, ertinya berpuasa adalah satu ibadah yang sangat tinggi darjatnya sehingga tidak ada bandingannya dalam ibadah-ibadah selainnya.

Maka, jika dilihat dari maksud yang tersirat disebalik definisi yang digariskan diatas, peranan puasa yang difardhukan ke atas umat Islam bukan sahaja memberi pentarbiyahan fizikal, bahkan mental dan rohani.

Kedatangan bulan yang mulia ini dianggap menyusutkan kerja-kerja harian yang dilakukan, bagi sesetengah pihak. Namun, bagi sahabat Nabi serta para mukminin ia adalah bulan jihad dan tarbiyah.

Pada bulan ini juga menjanjikan keberkatan dalam gerak kerja dengan susunan yang lebih teratur kerana rutin makan ditinggalkan.

Beberapa peristiwa yang berlaku di bulan Ramadhan. Diantaranya;

1) BULAN DITURUNKAN AL KITAB
Firman Allah Ta'ala yang bermaksud: "Bulan Ramadhan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah"

Beberapa hari yang ditentukan itu ialah bulan Ramadhan. Bulan yang diturunkan di dalamnya (permulaan) Al Quran sebagai petunjuk untuk manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pemisah antara yang benar dan salah. Para mufassirin juga berpandangan, Allah juga menurunkan kitab-kitab dan suhuf iaitu kitab-kitab Zabur, Taurat, Injil kepada para rasul terdahulu pada bulan Ramadhan.

2) ISLAM SAMPAI KE YAMAN
Yaman terletak di selatan Semenanjung Tanah Arab. Nabi Muhammad mengutuskan Ali bin Abu Talib dengan membawa surat Baginda untuk penduduk Yaman khususnya suku Hamdan. Dalam tempoh satu hari, kesemua mereka memeluk agama Islam secara aman. Peristiwa bersejarah itu berlaku pada bulan Ramadhan tahun ke-10 Hijrah.

3) PERISTIWA BADAR
Pada hari Jumaat 17 Ramadhan tahun ke-2 Hijrah berlakunya perang pertama dalam Islam yang dikenali Perang Badar. Tentera muslimin ketika itu hanya minoriti dengan jumlah seramai 313 orang berbanding tentera kafir seramai 1,000 orang.

4) ISLAM MEMBUKA KOTA MEKAH
Peristiwa ini berlaku pada 10 Ramadhan tahun ke-6 Hijrah. Peristiwa kemuncak ini berlaku apabila musyrikin Mekah melanggar perjanjian Hudaibiah yang termeterai dengan orang islam.

5) KHALID BIN AL WALID MERUNTUHKAN BERHALA AL ‘UZZA
Selepas umat Islam membebaskan kota Mekah, Nabi Muhammad SAW menyucikannya dengan memusnahkan 360 patung di sekeliling Kaabah. Lima hari sebelum berakhirnya Ramadhan tahun ke-9 hijrah, beliau menghantar Khalid al Walid bagi memusnahkan patung al ‘Uzza di Nakhla.

6) PENYERAHAN BANDAR TAIF
Bandar Taif pernah mencatatkan sejarah apabila penduduknya menghalau Nabi Muhammad S.A.W semasa berdakwah di sana. Selepas Baginda dan umat Islam berjaya membebaskan Mekah, golongan Bani Thaqif berkeras tidak mahu tunduk kepada Nabi Muhammad S.A.W. Nabi Muhammad S.A.W dan tentera Islam mara ke Taif lalu mengepungnya dalam tempoh yang lama. Akhirnya rombongan mereka datang ke Mekah pada bulan Ramadhan tahun ke-9 Hijrah dengan menyerahkan bandar Taif sebagai tanda menyerah kalah. Patung al Laata yang dipuja sebelum ini dimusnahkan.

7) PEMBUKAAN ANDALUS (SEPANYOL)
Andalus adalah nama Arab yang diberikan kepada wilayah-wilayah bahagian Semenanjung Iberia yang diperintah oleh orang Islam selama beberapa waktu bermula tahun 711 hingga 1492 Masihi. Pada 28 Ramadhan tahun ke-92 Hijrah, panglima Islam bernama Tariq bin Ziyad dihantar pemerintahan Bani Umaiyah bagi menawan Andalus.

8) PEPERANGAN ZALLAQAH; PORTUGAL
Peristiwa ini berlaku selepas subuh hari Jumaat, bulan Ramadhan tahun 459 Hijrah. Ketika itu, berlaku kebangkitan Dinasti Murabit di Afrika Utara. Gabenor Cordova, al Muktamin meminta bantuan Sultan Dinasti Murabit, Yusuf bin Tasyifin bagi memerangi al Fonso VI. Tentera Kristian yang diketuai oleh al Fonso VI yang berjumlah 80,000 tentera berjaya dikalahkan. Dalam masa yang singkat Sultan Yusuf berjaya menguasai seluruh Sepanyol dan menyelamatkan umat Islam. Selepas itu, Sepanyol Dinasti Murabit berdiri sejak 1090 hingga 1147 Masihi.

9) TENTERA ISLAM MENGALAHKAN TENTERA MONGOL
Pada 15 Ramadhan 658 Hijrah bersamaan 1260 Masihi, angkatan tentera Islam bangkit membuat serangan balas. Tentera Islam dan para ulama pimpinan Sultan Qutuz dari Dinasti Mamluk, Mesir mara ke Palestin selepas Mongol menguasainya. Kedua-dua pihak bertemu di ‘Ain Jalut.

10) PEPERANGAN YAKHLIZ
Pada 15 Ramadhan 1294 Hijrah, bala tentera Islam Dinasti Uthmaniah yang dipimpin oleh Ahmad Mukhtar Basya dengan jumlah 34,000 anggota mengalahkan tentera Rusia yang berjumlah 740,000. Seramai 10,000 tentera Rusia terbunuh dalam pertempuran itu. Ia menjadi kebanggaan umat Islam mempertahankan agama yang diancam oleh kerajaan Tzar di Rusia.

11) TERTAWANNYA GARIS BAR LEV, ISRAEL
Dalam sejarah moden, berlaku Perang Yom Kippur yang melibatkan tentera Islam pakatan Mesir dan Syria dengan tentera Yahudi Israel pada 10 Ramadhan 1390 Hijrah bersamaan 6 Oktober hingga 22 atau 24 Oktober 1973 Masihi. Perang Yom Kippur, juga dikenali sebagai Peperangan Arab-Israel 1973, Perang Oktober, dan Perang Ramadhan.

Ibrah Hadith;

Daripada Abi Soleh Az-zayyat bahawa dia telah mendengar Abu Hurairah berkata: Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud: Setiap amalan anak Adam baginya. Melainkan puasa, maka ia untukKu dan Aku akan membalasnya. Dan puasa adalah perisai, maka apabila seseorang berada pada hari puasa maka dia dilarang menghampiri(bercumbu) pada hari itu dan tidak meninggikan suara. Sekiranya dia dihina atau diserang maka dia berkata: Sesungguhnya aku berpuasa demi Tuhan yang mana diri nabi Muhammad ditanganNya maka perubahan bau mulut orang berpuasa lebih harum di sisi Allah pada hari qiamat daripada bau kasturi, dan bagi orang berpuasa dua kegembiraan yang mana dia bergembira dengan keduanya apabila berbuka dia bergembira dengan waktu berbukanya dan apabila bertemu Tuhannya dia gembira dengan puasanya. -Hadis riwayat imam Bukhari, Muslim, Nasai’e, Ahmad, Ibn Khuzaimah, Ibn Habban dan Baihaqi”

PENGAJARAN HADITH
• Semua hadis menceritakan betapa besarnya kelebihan bulan Ramadhan untuk kita sama-sama menghidupkannya dengan segala amalan sunnah.

• Pintu syurga dibuka sepanjang Ramadhan, manakala pintu neraka pula ditutup. Ini menggambarkan bagaimana Allah begitu mengasihani hambaNya yang taat beribadat dan menurut segala perintahNya.

• Syaitan diikat sepanjang bulan Ramadhan agar kita dapat menunaikan segala ibadat dengan penuh keikhlasan. Tetapi kita perlu ingat bahawa kawan syaitan yang berada pada diri kita iaitu nafsu akan menggantikan tugas syaitan jika kita lalai.

• Pentingnya keikhlasan dan keimanan kita dalam menunaikan ibadat.

• Puasa mampu menjadi perisai diri daripada terjebak ke lembah maksiat, begitu juga ia mampu menghapuskan segala dosa-dosa yang lepas jika kita benar-benar bertaubat.

• Jauhkan daripada syirik pada Allah sama ada berbentuk perbuatan, niat ataupun percakapan. Kita mesti mematuhi segala perjanjian yang dibuat selagi tidak melanggar hukum syarak.

• Kita mesti berpuasa pada semua anggota bukannya pada makan dan minum sahaja.

• Bau mulut orang berpuasa lebih harum daripada bauan kasturi.

• Orang berpuasa akan mengecapi dua kegembiraan iaitu ketika berbuka dan apabila bertemu Allah kelak.

Di dalam menunaikan ibadat puasa kita mesti banyak bersabar dan jangan suka berbual kosong apatah meninggikan suara apabila bercakap.

Ramadhan yang hadir hanya sekali setahun, bulan yang diistimewakan kelebihan dan nikmat buat umat Nabi Muhammad S.A.W sahaja. Maka merugilah bagi insan yang mensia-siakan kehadirannya yang penuh rahmat sehingga makhluk ALLAH yang melata di langit dan di bumi juga ternanti-nanti akan kehadirannya.

Sumber : Hewi PMRAM

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015