Firman Allah s.w.t : “Hanya
yang memakmurkan masjid-masjid Allah ialah orang-orang yang beriman kepada
Allah dan hari kemudian,serta tetap mendirikan solat, menunaikan zakat dan
tidak takut (kepada sesiapapun) selain kepada Allah, maka merekalah orang yang
diharapkan termasuk orang-orang yang mendapat petunjuk”.
(Surah at-Taubah :18)
Solat
berjemaah merupakan salah satu ibadah yang sangat dituntut di dalam Islam. Dari
segi bahasa membawa maksud solat secara berkumpulan. Dalam fiqh, solat itu
dikira berjemaah walaupun hanya dua orang sahaja yang menunaikan solat
tersebut. Maka perlulah kita hidupkannya di dalam kehidupan seharian kita
selaku seorang insan yang bergelar muslim.
Para
ulama’ berselisih pendapat dalam memberi hukum tentang solat berjemaah ini. Ada
yang mengatakan wajib,ada yang mengatakan sunat,ada yang mengatakan ianya
adalah sunat muakkad(yang dituntut). Perselisihan ini membuktikan betapa
pentingnya solat berjemaah itu kepada kita kerana ganjaran bagi yang menunaikan
solat secara berjemaah sangat berbeza dengan solat bersendirian. Sabda Nabi
Muhammad s.a.w daripada Ibnu Umar r.a : “Solat berjemaah itu lebih afdhal
daripada solat bersendirian dengan dua puluh tujuh kali ganda” Riwayat
Bukhari dan Muslim. Hadis ini ada juga perbahasan ulama yang mengatakan dengan
dua puluh lima kali ganda pahala maka membuktikan betapa besarnya ganjaran yang
Allah taala berikan kepada sesiapa yang menunaikan solat secara berjemaah.
Selain
itu, solat berjemaah ini mempunyai banyak faedah kelebihan kepada kita lebih-lebih
lagi sebagai mahasiswa. Perlu kita pupuk dari awal supaya budaya solat
berjemaah menjadi darah daging kita yang sangat sukar untuk kita tinggalkan.
Antara kelebihan-kelebihan kita dapat jika menunaikan solat secara berjemaah
ialah:
1)Saling kenal mengenali antara satu sama lain.
Apabila
kita pergi ke masjid kita akan berjumpa ramai sahabat-sahabat kita yang sudah
lama kita kenal, baru kenal ataupun tidak kenal langsung. Maka masjid adalah
‘Rumah’ yang pintunya tidak pernah ditutup pintunya untuk menerima tetamu tidak
seperti rumah kita. Jika kita tidak mengenali seseorang itu mustahil kita akan
menjemputnya masuk ke dalam rumah kita dengan selamba.
2)Saling tampung menampung pahala khusyuk antara satu sama lain.
Jika kita
menunaikan solat berjemaah, tidak semua yang mendapat khusyuk dari takbiratul
ihram hinggalah kepada salam. Ada yang khusyuknya pada doa iftitah, ada yang
khusyuknya pada rukuk, ada yang khusuknya pada sujud dan yang tidak khusyuk
langsung.jadi ada pelbagai tempat dan
keadaan seseorang itu akan merasai khusyuk dalam solat dan secara automatik
pahala khusyuk akan dapat. Maka dengan solat berjemaah ini akan saling tampung
menampung pahala khusyuk dalam solat. Jika solat bersendirian kita memang tidak
boleh kelebihan seperti ini.
3)Hadith Rasulullah s.a.w yang diriwayatkan daripada Anas r.a : “Sesiapa
yang solat selama empat puluh hari dalam jemaah yang tidak luput dari
takbiratul ihram, maka Allah menuliskan(mewajibkan) baginya kelepasan : kelepasan
dari munafiq dan kelepasan dari neraka”.
4)Allah swt akan memberi cahaya dalam kegelapan hari akhirat.
Sabda
Rasulullah s.a.w : “Bergembiralah orang yang berjalan dalam gelap untuk ke
masjid dengan cahaya yang sempurna pada hari kiamat”.Para ulama’ memberi maksud
pada ‘ solat yang gelap’ialah solat subuh dan asar.
5)Dijanjikan oleh Allah swt dengan ganjaran syurga.
Siapa
yang tidak mahu masuk syurga. Hanya orang yang otaknya terputus wayar sahaja
tidak mahu masuk syurga. Ini adalah janji Allah maka perlulah kita merebutnya
kerana peluang tidak datang berkali-kali. Sabda Rasulullah s.a.w yang
diriwayatkan dari Abi Musa r.a : ”Sesiapa yang melakukan dua solat yang
sejuk secara berjemaah akan memasuki syurga”. Dua solat yang sejuk ialah
solat subuh dan asar.
Ini
adalah sedikit daripada kelebihan yang Allah taala ganjarkan jika kita
melakukan solat secara berjemaah. Kalau nak dihimpunkan memang terlalu banyak
kelebihan tentang solat berjemaah ini. Namun begitu, jangan kita lupa yang
Rasulullah s.a.w pernah memberi ancaman kepada sesiapa yang mampu tetapi tidak
menunaikan solat secara berjemaah maka kita jadikan ancaman itu sebagai
motivasi untuk berusaha sebanyak mungkin untuk menunaikan solat secara
berjemaah.
Di dalam
fatrah imtihan ini mari kita panjatkan munajat kita kepada Allah disamping
usaha kita mengulangkaji pelajaran. Allah taala sangat suka kepada sesiapa yang
selalu meminta-minta kepadaNya. Tidak seperti kita kalau sahabat kita meminta
apa-apa daripada kita setiap masa sudah tentu bukan sahaja maki hamun yang kita
berikan tetapi periuk dan kuali juga akan sampai ke muka sahabat kita. Bila
kita mengingati Allah, hati kita akan menjadi tenang dan tenteram kerana lidah
kita basah dengan zikrullah akan melahirkan rasa rendah diri, hilang ego kita
dan pengharapan kita kepada Allah itu akan semakin tinggi.
Semoga
kita memanfaatkan nikmat yang Allah swt berikan dengan melakukan amal-amal
soleh supaya kita boleh mendapat cinta Allah kerana cinta Allah tiada tandingan
dari cinta-cinta yang lain.
“Jangan
kita lupakan Allah takut-takut Allah akan lupa pada kita”
Muhammad Bukhari bin Yahaya
Pengarah Unit Biah Solehah PMRAM 2011
Sumber : ubs-pmram
No comments:
Post a Comment