Nov 1, 2011

First 10 of Zulhijjah



بسم الله الرحمن الرحيم

Alhamdulillah pertama dan selama-lamanya sama-sama kita panjatkan kesyukuran kepada Sang Pencipta kerana masih lagi diberi keizinan ruang dan waktu untuk menarik nafas iman dan islam bagi meneruskan usaha kecil ini walaupun dalam keadaan yang saya kira sedikit tersepit dan sibuk terutama pimpinan DPMZ dan Ajk Pelaksana KHALIFAH 1432H. Selawat dan salam buat junjungan besar penutup segala Nabi Muhammad SAW yang berkubang peluh dan berkuah darah bagi memastikan gerakan dakwah terus lancar meluncur di pentas dunia ini.


Bulan Zulhijjah menghampiri kita. Pada sepuluh hari pertamanya terdapat banyak kemuliaan dan keutamaan. Hari-hari tersebut disediakan oleh Allah sebagai musim ketaatan dan kesempatan beramal soleh. Maka seorang Muslim wajarlah ia memperhatikan hikmah yang terkandung dalam bulan tersebut, memanfaatkan dengan melaksanakan pelbagai ibadah yang disyariatkan, menjaga perkataan dan amal yang soleh agar hatinya menjadi dekat kepada Allah Taala di mana hal tersebut dapat membantunya dalam menghadapi kehidupan ini dengan jiwa besar dan semangat yang berkobar. 10 hari pertama di bulan Zulhijjah merupakan hari-hari yang sangat mulia dan penuh barakah. Bukti kemuliaan ini, Allah Taala bersumpah dengannya dalam Al Quran Al Karim,

Maksudnya: "Demi fajar, dan malam yang sepuluh"

[ Surah Al Fajr, ayat : 1-2]

Imam At Tobari menafsirkan “Wa layaalin ‘asr” (Dan malam yang sepuluh) sebagai malam-malam sepuluh Zulhijjah berdasarkan kesepakatan hujjah dari ahli ta’wil (ahli tafsir). (rujuk Jami’ Al Bayan fi Ta’wil Al Qur’an:7/514)

Kemuliaan sepuluh hari ini juga disebutkan dalam surah Al Hajj dengan perintah agar memperbanyak menyebut nama Allah pada hari-hari tersebut. Allah Taala berfirman,

Maksudnya, “Dan berserulah kepada manusia untuk mengerjakan haji, nescaya mereka akan datang kepadamu dengan berjalan kaki, dan mengenderai unta yang kurus yang datang dari segenap penjuru yang jauh, supaya mereka menyaksikan berbagai manfaat bagi mereka dan supaya mereka menyebut nama Allah pada hari yang telah ditentukan atas rezeki yang Allah telah berikan kepada mereka berupa binatang ternak”.

 [Surah Al Hajj, ayat : 27-28]

Manakala dari hadis, terdapat keterangan yang menunjukkan keutamaan dan kemuliaan sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah ini, di antaranya sabda Nabi SAW yang bermaksud,

"Tidak ada satu amal soleh yang lebih dicintai oleh Allah melebihi amal soleh yang dilakukan pada hari-hari ini (iaitu 10 hari pertama bulan Zulhijjah)". Para sahabat bertanya, "Tidak pula jihad di jalan Allah? Nabi S.A.W, "Tidak pula jihad di jalan Allah, kecuali orang yang berangkat jihad dengan jiwa dan hartanya namun tidak ada yang kembali satupun"

[Sunan Abi Daud dan  Ibnu Majah]

Dianjurkan ke atas orang Islam pada hari-hari tersebut untuk bersungguh-sungguh dalam ibadahnya, di antaranya solat, membaca Al Quran, zikrullah, memperbanyak doa, membantu orang-orang yang kesusahan, menyantuni orang miskin, memperbaharui janji kepada Allah Taala. Masih ada satu amalan lagi yang utama pada hari-hari tersebut, iaitu berpuasa sunnah di dalamnya.

Terdapat dalam Sunan Abi Daud dan lainnya menerangkan bahawa Rasulullah SAW berpuasa pada 9 Zulhijjah (rujuk Sunan Abi Daud no.2437)

Manakala Syeikh Muhammad bin Soleh Al Munajjid berkata, Di antara musim ketaatan yang agung adalah sepuluh hari pertama dari bulan Zulhijjah, yang telah Allah muliakan atas hari-hari lainnya selama setahun dan hal ini diperkuat dengan beberapa bukti di bawah ini :

1. Allah Taala telah bersumpah dengannya. Dan bersumpahnya Allah dengan sesuatu menjadi dalil besarnya manfaat. Allah Taala berfirman bermaksud, “Demi fajar, dan malam yang sepuluh” (Al Fajr:1-2). Ibnu Abbas, Ibnu Al Zubair, Mujahid, dan beberapa ulama salaf dan khalaf berkata bahawa ia adalah sepuluh hari pertama Zilhijjah. Ibnu Kathir membenarkan pendapat ini. (rujuk tafsir Ibni Kathir:8/413)

2. Sesungguhnya Nabi SAW pernah bersaksi bahawa hari-hari tersebut adalah seutama-utamanya hari-hari dunia sebagaimana yang telah disebutkan di dalam hadis shahih.

3. Rasulullah SAW menganjurkan untuk memperbanyakkan amal solih di dalamnya. Sesungguhnya kemuliaannya mampu diperoleh oleh setiap penduduk negeri, sementara keutamaan tempat hanya dimiliki oleh jama’ah haji di Baitil Haram.

4. Rasulullah SAW juga memerintahkan untuk memperbanyakkan tasbih, tahmid, dan takbir pada sepuluh hari tersebut. Dari Ibnu Umar RA bahawa  Nabi SAW bersabda maksudnya, “Tidak ada hari-hari yang lebih agung di sisi Allah dan amal solih di dalamnya lebih dicintai olehNya daripada hari yang sepuluh (sepuluh hari pertama dari Zulhijjah), perbanyaklah tahlil, takbir, dan tahmid di dalamnya” (Musnad Imam Ahmad 7/224, Syaikh Ahmad Syakir mensahihkan isnadnya).

5. Di dalamnya terdapat Hari 'Arafah. Hari 'Arafah adalah hari yang disaksikan yang di dalamnya Allah menyempurnakan ajaran deenNya sementara puasanya akan menghapuskan dosa-dosa selama dua tahun.

6. Di dalamnya terdapat ibadah 'udhiyyah (berkorban) dan haji".

Dalam sepuluh hari ini juga terdapat yaumun nahar (hari penyembelihan) yang secara umum menjadi hari teragung dalam setahun. Hari tersebut adalah haji besar yang berkumpul berbagai ketaatan dan amal ibadah padanya yang tidak terkumpul pada hari-hari selainnya. Sesungguhnya siapa yang mendapatkan sepuluh hari bulan Zulhijjah merupakan bahagian dari nikmat Allah yang besar atasnya. Hanya orang-orang soleh yang bersegera kepada kebaikan segera untuk menghormatinya dengan semestinya. Dan kewajiban seorang Muslim adalah merasakan nikmat ini, memanfaatkan kesempatan emas ini dengan memberikan perhatian yang lebih, dan menundukkan dirinya menjalankan ketaatan. Sesungguhnya di antara kurnia Allah Taala atas hambaNya adalah menyediakan banyak jalan berbuat baik dan meragamkan kepelbagaian bentuk ketaatan agar semangat seorang Muslim sentiasa thabat, tetap istiqamah menjalankan ibadah kepada Allah. Wallahua'lam.

Muhammad Anas Bin Kamaruldin.
Timbalan Pengerusi,
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig
Sesi 2011/2012

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015