HUKUM MERAIKAN VALENTINE'S DAY
Pada mulanya, ia dikenali sebagai Saint
Valentine`s Day, namun akhirnya disingkatkan kepada Valentine`s Day sahaja. Di
Sweden, ia dinamakan: Alla hjärtans dag ("Hari Semua Jantung
(Hati)"), di Findland pula dinamakan: Ystävänpäivä (Hari Persahabatan),
begitu juga ditempat-tempat lain yang diberikan nama berbeza, namun maksudnya
sama: Menghargai kekasih.
Di Malaysia, umum mengenalinya sebagai
“Hari Kekasih”. Dan diraikan oleh kebanyakan peringkat masyarakat, dari usia
kanak-kanak sehinggalah dewasa.
Valentine`s Day merupakan satu peringatan
tahunan yang diadakan pada 14 Februari setiap tahun, bagi meraikan cinta. Hari
ini mula dikenali setelah kematian beberapa pahlawan kristien yang bernama
Saint Valentine, dan mula ditetapkan oleh Pope Gelasius pada tahun 496.
Kemudian ia dibatalkan dari Kalender Umum Roman bagi Saint([1]) pada tahun 1969
oleh Pope Paul VI. Secara tradisinya, ia adalah hari pasangan kekasih meluahkan
cintanya antara satu sama lain dengan cara menghadiahkan bunga, gula-gula atau
coklat, dan menghantar kad ucapan yang dikenali sebagai (Valentines).
Pada zaman moden ini, Valentine`s Day
diraikan dengan ditambah hadiah berbentuk jantung (love), ukiran merpati, dan
budak lelaki bersayap (Cupid). Sejak abad ke-19, tulisan tangan Valentines
telah tersebar dengan pesat diseluruh dunia.
Amat membimbangkan kini, perayaan
Vaelentine`s Day bertambah tercemar di negara umat Islam apabila ia menjadi
suatu adat dan merosakkan kebanyakkan pemuda-pemudi umat Islam. Pergaulan bebas
yang akhirnya berakhir dikatil-katil cukup merisaukan.
Fakta Sejarah
RAMAI pahlawan kristien yang mati
dinamakan Valentine. Perajurit Valentines yang diberi penghormatan pada 14
Februari ada dua orang. Valentine`s of Rome dan Valentine of Terni. Valentine`s
of Rom adalah seorang paderi di Rom yang telah mati pada tahun 269, dan dibakar
di Via Flamina. Barang peninggalannya terdapat di Church of Saint Praxed idi
Rome, dan di Whitefriar Street Carmelite Church di Dublin, Ireland.
Valentine`s of Terni pula mula menjadi
seorang bishop di Interamna (Terni Moden) sekitar tahun 197 dan dikatakan mati
atas penganiayaan Kerajaan Aurelian. Dia juga dibakar di Via Flaminia, tetapi
di lokasi berbeza dari Valentine`s of Rome. Peninggalannya terdapat di The
Basilica of Saint Valentine di Terni.
Ensiklopidia Katolik juga menyebutkan
individu ketiga bagi gelaran Valentine yang didakwa mati pada 14 Februari. Dia
mati di Afrika dengan beberapa pengikutnya yang lain. Namun dia tidak begitu
dikenali.
Tiada unsur Romantis yang berlaku pada
sejarah ketiga-tiga orang tersebut. Namun setelah beberapa lama, Saint
Valentine telah menjadi sumber Romantis pada abad ke-14. Ia merupakan rekaan
yang sengaja dibuat-buat.
Pada tahun 1969, the Roman Catholic
Calendar of Saints berlaku perubahan. Perayaan Saint Valentine pada 14 Februari
telah dibuang dari General Roman Calendar dan diturunkan kepada kalender khusus
(tempatan ataupun kebangsaan) disebabkan alasan berikut:
“Memandangkan peringatan Saint Valentine
adalah peringatan kuno, maka ia ditinggalkan kepada kalender khusus, berikutan
bahagian dari namanya, tiada yang diketahui tentang Saint Valentine melainkan
dia dibakar di Via Flamina pada 14 Februari”.
Lagenda
PELBAGAI cerita karut yang diceritakan
dalam perayaan ini. Antaranya adalah seperti berikut:
(Pertama)
Valentine’s Day
bermula semasa pemerintahan empayar Rom iaitu dengan menetapkan 14 Februari
sebagai hari cuti bagi orang Juno ratu kepada dewa-dewa dan dewi-dewi Rom. Hari
berikutnya iaitu 15 Februari bermulanya Pesta Lupercalia iaitu perayaan tradisi
bagi masyarakat Rom di mana pada malam pesta tersebut, nama-nama gadis Rom
ditulis di atas kertas dan dimasukkan ke dalam bekas. Setiap pemuda akan mencabut
nama di dalam bekas itu dan nama yang terpilih akan menjadi pasangannya di
sepanjang pesta berlangsung.
(Kedua)
Pendapat kedua
menyatakan pada 14 Februari 270 Masihi, St. Valentine dibunuh kerana
pertelingkahannya dengan Raja Romawi yang diperintah oleh Raja Claudius II
(268-270M). Pada waktu itu Raja Claudius telah membatalkan semua perkahwinan
dan pertunangan kerana Rom banyak terlibat di dalam peperangan. Menyedari
hakikat itu, St. Valentine dan St. Marius telah mengahwinkan orang-orang
Kristian dengan pasangan mereka secara rahsia. Akibat perbuatan tersebut, St.
Valentine telah ditangkap dan diheret, yang akhirnya dihukum belantan sehingga
mati serta dipenggal kepalanya pada 14 Februari dalam tahun 270 Masihi. Bagi
memperingatinya sebagai simbol ketabahan, keberanian dan kepasrahan dalam
menghadapi cubaan hidup, maka 14 Februari dijadikan sebagai hari memperingati
kematian St. Valentine sebagai upacara keagamaan.
(Ketiga) ([2])
Pendapat ketiga
mengatakan Valentine’s Day diambil daripada nama seorang paderi yang paling
berpengaruh pada zaman pemerintahan Ratu Isabella dari Sepanyol iaitu St.
Valentine yang status kedudukannya adalah di tempat kedua tertinggi selepas
Pope. Apabila St. Valentine menyatakan hasrat untuk berkahwin dengan pasangannya
dari pengamal protestan sewaktu kerajaan Sepanyol berjaya menumpaskan kerajaan
Islam, timbul kegemparan rakyat Cordova kerana St. Valentine merupakan seorang
Paderi Katolik yang tidak boleh berkahwin dengan pengamal Protestan,
lebih-lebih lagi paderi sememangnya tidak boleh berkahwin. Tindakan St.
Valentine yang mengambil keputusan berkahwin dengan pasangannya itu telah
menimbulkan rasa murka Ratu Isabella, lalu memenjarakannya buat sementara
waktu. Ratu menetapkan 14 Februari sebagai Hari Kekasih untuk St. Valentine
sendiri.
(Keempat)
Awal zaman
pertengahan, Saint Valentine dikenali dalam Lagenda Aurea([3]). Mengikut versi
tersebut, St Valentine telah disiksa kerana menganut Kristien. Dia diseksa oleh
Kerajaan Roman, yang diketuai Claudius II. Cladius menggesa St Valentine
menganut agama menyembah berhala Roman. Dia menggugut untuk membunuh St
Valentine andainya dia ingkar. Namun, St Valentine menolak dan mencuba pula
mengajak Claudius masuk agama Kristien. Disebabkan perkara tersebut, dia
dihukum mati. Sebelum hukuman dijalankan, dia dilaporkan telah melakukan sebuah
keajaiban dengan menyembuhkan budak perempuan yang berada di penjara.
Cerita tersebut,
masih belum memasuki mana-mana sentimen cinta, oleh itu versi ini disulam
supaya menarik. Dikatakan Valentine adalah seorang paderi yang menentang
undang-undang Kerajaan Roman, Claudius II. Kerajaan memerintahkan pemuda-pemuda
terus berada dalam keadaan bujang, tidak boleh berkahwin. Kerajaan melaksanakan
undang-undang ini bagi memperbanyakkan bilangan tentera, dan mereka yakin
bahawa tenntera yang berkahwin tidak mampu menjadi perajurit yang baik.
Malangnya, Valentine telah melaksanakan upacara perkahwinan untuk pemuda-pemuda
secara senyap. Apabila Claudius mendapat tahu, dia menangkap Valentine dan memenjarakannya.
Versi ini mengalami
disulam lagi oleh American Greetings kepada History.com. Mereka menamakannya
sebagai (The Golden Legend). Suatu petang, sebelum Valentine dihukum bunuh, dia
telah menulis sekeping kad “Valentine” kepada gadis muda yang dicintainya([4]).
Gadis itu adalah wanita buta yang dia sembuhkan, ataupun yang rapat dengannya
ketika dipenjara([5]), ataupun kedua-duanya sekali. Valentine menulis: “From
your Velentine”. Ia merupakan kad
Valentine yang pertama.
(Kelima)
Dalam lagenda Greek
pula, Eros([6]) telah jatuh cinta kepada Psyche
di Gunung Helion. Kemudiannya, dibina sebuah kuil di gunung tersebut
sebagai menghormati mereka berdua. Sebelum Psyche dilahirkan, Aphrodite, emak
Eros telah memberi sumpahan kepada bapa Psyche`s kerana merendah-rendahkan kecantikannya
diseluruh Athens. Dia membiarkan anak perempuannya hidup tanpa cinta. Beberapa
tahun kemudian, Eros mengembara dengan ikan lumba-lumba untuk memimpin dua
bintang cinta bersilang, Pyramus dan Thisbe. Tiba-tiba ribut kilat telah
menimpanya dan membawanya ke kaki gunug Helion. Pada paginya, Psyche telah berjalan dipantai. Desiran langkah kaki
Psyche telah membangunkan Eros, lantas Eros jatuh cinta kepadanya. Aphridite
amat marah apabila mengetahui anaknya tidak melaksanakan sumpahnya, lantas dia
menyuruh kekasihnya Ares menikam Psyche dengan tombak. 14 Februari adalah hari
kematian Psyche, dan Eros berjanji tidak akan bercinta lagi, serta akan
menyebarkan cinta keseluruh dunia.
Hanya Islam Agama Pilihan Allah
ALLAH Taala telah memilih Islam sebagai
agama kita. Bahkan, Allah tidak akan sesekali menerima agama lain selainnya.
Dengan itu, segala agama selain Islam di dunia ini adalah agama yang bathil,
tidak benar. Mereka tidaklah mendekati Allah dengan melakukan amalan-amalan
keagamaan mereka, bahkan perkara tersebut menambahkan lagi kesesatan yang
berada dalam tubuh mereka. Allah Taala berfirman:
إِنَّ الدِّينَ عِنْدَ اللَّهِ الْإِسْلَامُ
Maksudnya:
Sesungguhnya, agama
(yang benar) disisi Allah hanyalah Islam.
[Ali Imran: 19]
وَمَنْ يَبْتَغِ غَيْرَ الْإِسْلَامِ دِينًا
فَلَنْ يُقْبَلَ مِنْهُ وَهُوَ فِي الْآخِرَةِ مِنَ الْخَاسِرِينَ
Maksudnya:
Dan siapa yang
memilih selain Islam sebagai agama, maka tidak akan diterima (segala amalan)
darinya, dan dia di akhirat kelak termasuk dalam golongan orang yang rugi (ahli
Neraka).
[Ali Imran: 85]
Rasulullah ﷺ pula berkata:
وَالَّذِى نَفْسُ مُحَمَّدٍ
بِيَدِهِ لاَ يَسْمَعُ بِى أَحَدٌ مِنْ هَذِهِ الأُمَّةِ يَهُودِىٌّ وَلاَ نَصْرَانِىٌّ
ثُمَّ يَمُوتُ وَلَمْ يُؤْمِنْ بِالَّذِى أُرْسِلْتُ بِهِ إِلاَّ كَانَ مِنْ أَصْحَابِ
النَّارِ
Maksudnya:
Demi diri Muhammad
ditanganNya, aku tidak pernah mendengar seorangpun dari umat ini seorangp
Yahudi mahupun Kristien ang kemudian mati (dalam keadaan) tidak beriman dengan
apa yang aku sampaikan dengannya, melainkan mereka dari kalangan penghuni
Neraka.
[Direkodkan oleh Muslim]
Rasulullah ﷺ juga pernah
mengingatkan bahawa, umat Islam akan terikut-ikut dengan perangai, penampilan
dan budaya orang kafir. Kata baginda:
لَتَتْبَعُنَّ سَنَنَ مَنْ كَانَ قَبْلَكُمْ
شِبْرًا شِبْرًا وذِرَاعًا بِذِرَاعٍ حَتَّى لَوْ دَخَلُوا جُحْرَ ضَبٍّ تَبِعْتُمُوهُمْ
قُلْنَا يَا رَسُولَ اللهِ الْيَهُودُ وَالنَّصَارَى قَالَ فَمَنْ
Kamu akan mengikuti
jalan-jalan (tingkah laku) orang yang sebelum kamu sejengkal demi sejengkal,
sehasta demi sehasta sehinggalah jika mereka masuk ke dalam lubang biawak pasir
sekalipun, kamu akan memasukinya. Lantas kami (para sahabat) bertanya: Adakah (mereka
itu) orang Yahudi dan Kristien? Baginda menjawab: Siapa lagi (kalau bukan
mereka)?
[Direkodkan oleh al-Bukhari]
Realiti kini yang berlaku adalah,
kebanyakan negara umat Islam dikuatiri dengan budaya buruk barat yang
membanjiri pemikiran muda-mudi umat Islam. Budaya musuh-musuh Islam ini telah
menjadi kebiasaan, adat, dan cara hidup mereka.
Rentetan dari kesan pemodenan pemikiran
tanpa had dan kouta, umat Islam semakin hilang identiti dan wajah asal mereka.
Rupa Islam telah diburukkan dengan gelagat buruk sebelingan masyarakat,
bunyi-bunyian yang merosakkan, gambar dan tayangan video yang menjijikkan.
Inilah kesan internet yang amat meruncingkan.
Disaat-saat akhir ini, telah tersebar
sebuah perayaan yang dinamakan: Valentine`s Day yang disambut pada 14 Februari
setiap tahun. Ia merupakan perayaan orang Kristien yang ditiru dan diserap
masuk oleh umat Islam yang jahil terhadap agamanya sendiri. Perayaan ini
memberi kesan yang cukup banyak kepada imej dan peribadai umat Islam, lantas ia
perlu diteliti.
Penampilan
Valentine`s Day
VALENTINE`s Day mempunyai sifat dan
ciri-cirinya yang tersendiri. Ciri-ciri inilah yang perlu diperhatikan supaya
pengamatannya tidak terpesong dari hujah al-Quran dan as-Sunnah.
(1)Menampilkan perayaan yang gilang gemilang
dan bersuka ria sepertimana perayaan yang lain juga.
(2)Bertukar-tukar bunga mawar merah.
Ianya sebagai tanda cinta penyembah berhala Rom kepada tuhan mereka, juga
sebagai tanda gelora cinta antara kekasih beragama kristien.
(3)Menghantar kad “Valentine” yang
kebanyakannya mengandungi gambar Cupid, seorang budak lelaki bersayap yang
memegang panah. Dia adalah tuhan cinta buat penganut agama sembahan patung Rom.
(4)Mengisi kad yang dihantar dengan
kata-kata yang melalaikan. Dengan cara tulisan syair dan puisi yang pendek dan
menawan. Sebahagian mengandungi gambar-gambar yang melucukan dan kata-kata yang
menghairahkan. Kebanyakkan kad ditulis “Dari Valentine kamu” atau “From your
Valentine”, ia membawa makna pengagunggan kecintaan keterlaluan terhadap
manusia.
(5)Malam Valentine`s Day dijadikan malam
berasmara buat pasangan lelaki dan wanita yang belum berkahwin.
Mengapa umat Islam tidak boleh merayakan
Valentine`s Day?
ISLAM adalah agama cinta dan kasih
sayang. Namun, mengapa kita dilarang merayakan Valentine`s Day?
Jawapannya adalah seperti berikut:
(1)Perayaan dalam Islam adalah ibadah
yang mendekatkan diri hamba kepada Allah Taala. Ia adalah syiar agama.
Umat Islam berbangga merayakan Aidilfitri
kerana ia adalah hari umat Islam berjaya menjalankan ibadah puasa selama
sebulan. Umat Islam juga meresa gembira merayakan AidilAdha kerana meraikan
orang yang beribadah Haji dan juga kisah-kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dan
Ismail yang amat menyentuh hati. Bahkan, hari Jumaat juga digelar sebagai hari
raya, dan ia diraikan kerana hari itulah umat Islam berkumpul dan melakukan
ibadat bersama-sama.
Sejak zaman Rasulullah ﷺ lagi, tidak wujud perayaan melainkan tiga
hari raya yang telah disebutkan. Perayaan adalah ibadat “Tauqifiah”, tidak
dilakukan jika tiada contoh dari Rasulullah ﷺ dan para sahabat.
Makanya, perayaan Valentine`s Day dan perayaan lain yang tidak pernah wujud
diaman Rasulullah ﷺ tidak boleh dilaksanakan.
(2)Perayaan Valentine`s Day adalah meniru
budaya orang Kristien.
Umat Islam dilarang meniru budaya agama
orang kafir. Oleh itu, bagaimana pula jika perkara yang dilakukan mereka itu
adalah rekaan mereka sendiri? – Pastinya ia lebih haram dan dilarang.
Secara umumnya, meniru orang kafir – ahli
kitab atau musyrik – adalah haram. Sama ada dari segi akidah, ibadah, peribadi
atau cara hidup mereka ia tetap haram berdasarkan hujah dari al-Quran,
as-Sunnah dan Ijmak.
-1- Al-Quran
Allah Taala berfirman:
وَلَا تَكُونُوا كَالَّذِينَ تَفَرَّقُوا وَاخْتَلَفُوا
مِنْ بَعْدِ مَا جَاءَهُمُ الْبَيِّنَاتُ وَأُولَئِكَ لَهُمْ عَذَابٌ عَظِيمٌ
Maksudnya:
Dan janganlah kamu
menjadi seperti orang (Yahudi dan Nasrani) yang telah berpecah belah dan
berselisih (dalam agama mereka) setelah datang kepada mereka
keterangan-keterangan yang jelas (yang dibawa oleh utusan-utusan Allah), dan
mereka yang bersifat demikian akan beroleh aab seksa yang besar.
[Ali Imran: 105]
أَلَمْ يَأْنِ لِلَّذِينَ
آمَنُوا أَنْ تَخْشَعَ قُلُوبُهُمْ لِذِكْرِ اللَّهِ وَمَا نَزَلَ مِنَ الْحَقِّ وَلَا
يَكُونُوا كَالَّذِينَ أُوتُوا الْكِتَابَ مِنْ قَبْلُ فَطَالَ عَلَيْهِمُ الْأَمَدُ
فَقَسَتْ قُلُوبُهُمْ وَكَثِيرٌ مِنْهُمْ فَاسِقُونَ
Maksudnya:
Belum sampaikah lagi
masanya bagi orang yang beriman untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan
dan pengajaran Allah, serta mematuhi kebenaran (al-Quran) yang diturunkan
(kepada mereka)? Dan jangan pula mereka menjadi seperti orang yang telah
diberikan kitab sebelum mereka, setelah orang itu melalui masa yang panjang
maka hati mereka menjadi keras, dan banyak diantara mereka adalah orang fasik –
derhaka.
[Al-Hadid: 16]
-2- As-Sunnah
Rasulullah ﷺ berkata:
مَنْ تَشَبَّهَ بِقَوْمٍ فَهُوَ مِنْهُمْ
Maksudnya:
Siapa yang
menyerupai suatu kaum, maka dia adalah termasuk dalam kalangan mereka.
[Direkodkan oleh Abu Daud] ([7])
Syeikhul Islam Ibnu Taimiah berkata:
Hadith ini menunjukkan keadaan minima yang menunjukkan pengharaman menyerupai
orang kafir, walaupun zahir makna hadith ini menunjukkan kepada kafir apabila
menyerupai orang kafir. ([8])
-3- Ijmak (Sepakat Ulama)
Menurut Ibnu Taimiah, pada zaman para
sahabat telah bersepakat pengharaman meniru perayaan-perayaan orang kafir. Ibnu
Qayyim pula menyatakan bahawa ulama telah bersepakat pada perkara ini. ([9])
(3)Hubungan berlebihan antara lelaki dan
wanita tanpa hubungan perkahwinan.
Lelaki Muslim tidak boleh mewujudkan
sebarang hubungan intim dengan sebarang wanita Muslimah tanpa sebarang ikatan
perkahwinan. Orang yang menyambut Valentine`s Day menjadikan hari tersebut
sebagai tanda cinta atas hubungan intim yang tidak diredhai dan tidak
diizinkan.
Prinsip Umat Islam
SETELAH memahami sejarah, realiti,
penampilan dan hujah syarak terhadap Valentine`s Day, umat Islam perlu
menetapkan prinsip ([10]) mereka terhadap perayaan ini.
(1)Tidak merayakannya, atau menyertai
orang yang merayakannya, atau menghadiri sebarang majlis-majlis Valentine`s
Day.
(2)Tidak membantu sebarang usaha
merayakannya, bahkan berusaha mencegah perayaan ini diadakan.
(3)Tidak menukar-nukar hadiah pada hari
tersebut kerana ia bukanlah perayaan umat Islam.
(4)Berusaha menjelaskan kepada ahli
keluarga, rakan-rakan dan anak buah terhadap keburukan dan pengharaman perayaan
ini.
Disediakan oleh :
Syihabuddin Ahmad
Sahabat MANHAL PMRAM
Disemak oleh :
Felo MANHAL PMRAM
_________________________
Artikel ini diambil dari buku : “Apa Erti
Cinta” hasil tulisan Ustaz Syihabudin Ahmad MY.
([1])
Saint: Orang yang dianggap suci dalam agama Kristien.
([2])Ruj.
Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine`s Day, Ustazah Norzila Bt. Mohd
Nor. Buletin at-Taqwa, Jabatan Mufti Selangor, Bil.9, m/s: 12
([3])Ruj.
Artikel “Legenda Aurea, "Saint Valentine", catholic-forum.com.
([4])
Ruj. Artikel “The History of Valentine's Day". History.com.
([5])Ruj.
Artikel “History of Valentine's day”. TheHolidaySpot.com
([6])
Eros: Biasanya digambarkan sebagai budak
yang bersayap atau seorang lelaki kacak yang menunggang ikan lumba-lumba atau
singa.
([7])
Komentar Hadith: Syeikh al-Albani berkata: Hasan Shahih
([8])
Ruj. Al-Iqtidha`: 1/314
([9])
Ruj. Ibid 1/454, Ahkam Ahlu Zimmah: 2/ 722-25
([10])
Ruj. Kajian Valentine`s Day: Kisah, Syiar dan Hukumnya. Ibrahim bin Muhammad Haiqal
Sumber : manhal-pmram
No comments:
Post a Comment