Semenjak empat bulan terlibat dalam
menyampaikan mesej kebaikan, melarang kemungkaran melalui facebook. Disedari
terdapat beberapa cara penggunaannya yang patut ditegah dan boleh jatuh
perbuatan tersebut kepada haram, malah berganda-ganda haramnya.
Perlakuan dan perbuatan melalui facebook
yang boleh mengundang dosa terlalu banyak, namun di kesempatan ini, cukup saya
senaraikan enam perkara, iaitu :
1) Mendedah keaiban suami, isteri di facebook.
Terdapat beberapa kes yang dilihat sama
ada secara langsung atau tidak langsung, pemilik facebook meluahkan perasaan
sedih, kecewa, benci, marah terhadap pasangan di ruang status mereka. Mendesak
suami atau isteri juga melalui status facebook. Kemudian, status tersebut
mendapat komentar pelbagai dari rakan-rakan mereka. Sebagai contoh, ada yang secara terbuka
mendesak suami membeli rumah, kereta, pinggan mangkuk, perabot, pakaian dan sebegainya
melalui status mereka. Tertekanlah suami
serba salah.
Sebagaimana yang disebut oleh ramai
specialist di dalam bidang rumah tangga, kebanyakan wanita suka berkongsi dan
meluahkan perasaan mereka kepada orang lain sebagai pelepas kepada beban yang
ditanggung. Adakalanya ia mungkin bukan bertujuan untuk menjatuhkan suaminya,
bukan pula untuk tujuan membuka aib suami atau untuk mencari penyelesaian.
Pendedahan itu hanya sebagai pelepas tekanan di dalam diri.
Namun, tanpa disedari perbuatan tersebut
tergolong dalam mengumpat yang diharamkan oleh Islam. Semua perlu memahami
bahawa mereka tidak boleh sewenangnya bercerita perihal rumahtangga atau
pasangan mereka secara terbuka sama ada melalui facebook atau kepada rakan di
pejabat dan sebagainya. Sebarang masalah yang sudah tidak dapat diselesaikan
olehnya, hanya dibenarkan untuk diluahkan kepada seseorang yang diyakini punyai
autoriti seperti ibubapa, mertua dan adik beradik yang diyakini boleh
berperanan membantu, bukan berpotensi mengeruhkan lagi keadaan. Boleh juga
dikongsikan secara tertutup kepada pihak ketiga seperti Qadhi, Mufti, para
ilmuan sama ada Ustaz, Ustazah atau Kaunselor Rumahtangga.
Pendedahan masalah dan info yang boleh
mengaibkan suami (dan isteri) TIDAK DIBENARKAN sama sekali disebarkan melalui
facebook. Apabila ia dilakukan, ia dengan mudah sekali boleh mengundang dosa.
Terdapat sebahagiannya info tidak secara
langsung mengaibkan pasangan, tetapi selaku pembaca, kita dapat ‘membaca' dan
mengetahui secara tersirat bahawa si pemilik sedang ‘perang dingin' dengan
pasangannya. Ada juga yang difahami, suaminya sedang gagal memenuhi apa yang
diingininya, bersifat kurang baik kepadanya dan sebagainya. Ingatlah semua,
rumahtangga adalah amanah, jangan meruntuhkannya melalui facebook.
Beramanahlah, berikan suami dan isteri
anda password facebook anda, agar mereka sentiasa boleh meneliti mesej-mesej
yang dihantar kepada anda. Boleh juga pasangan berperanan selaku penyemak dan
memadam (delete) mana yang perlu jika
dimasukkan secara emosi tanpa pertimbangan aqal yang wajar.
2) Terlebih gambar
Ramai di kalangan wanita hari ini sudah
mempunyai facebook, mungkin sudah menjadi lumrah wanita yang biasanya inginkan
kecantikan dan pujian terhadap kecantikannya. Oleh itu, semakin ramai wanita
yang memuatkan gambar mereka, sama ada jarak dekat, sangat dekat ( sehingga
memenuhi kotak gambar) dan jauh
(beramai-ramai atau seorang diri).
Ditambah pula lagi dengan gaya, aksi dan fesyen yang pelbagai.
Agak pelik juga kerana sebahagian mereka
sudah bersuami dan kelihatan suami mereka memberikan sepenuh keredhaan atas
tayangan gambar sedemikian kepada khalayak, tanpa sebarang rasa cemburu dan
prihatin. Lebih merbahayakan, ramai pula lelaki yang menontonnya, sebahagiannya
memberikan pujian, malah ada yang berani bergurau senda, dan membuat ‘lamaran'
nafsu.
Lebih pelik, tuan punya facebook yang
sepatutnya mampu mengawal dan memadam sebarang komen kurang etika, kelihatan
membiarkan sahaja lamaran nafsu (seperti ajakan berdating, kahwin-padahal telah
bersuami) tersebut di ruangan komentar gambarnya, tanpa rasa bersalah.
Berterusan bercanda mereka melalui ruang
komentar, si lelaki dan wanita ada juga
yang telah beristeri dan bersuami, cuma atas tiket kawan lama, sepejabat dan
sebagainya, hal tersebut dibiarkan. Malah jika kedua-duanya masih bujang
sekalipun, ia tetap BERDOSA dan SALAH di sisi Islam kerana ia termasuk dalam
kategori larangan Allah ‘janganlah kamu menghampiri zina'.
Saya bimbang, ramai pula lelaki yang
menjadi dayus dek kerana gambar isteri terdedah aurat ( atau menutup aurat
kurang sempurna) ditayang sehabisnya di
facebook. Baca perihal ciri lelaki dayus di sini .
3) Penyamaran
Lelaki menyamar sebagai wanita untuk
menjadi friend dan seterusnya mendapat maklumat wanita. Ada dilaporkan juga,
sebahagian lelaki berang kerana tidak diluluskan menjadi ‘friend' seseorang
wanita. Akibatnya, si lelaki tidak mendapat kemudahan akses kepada
gambar-gambar wanita tersebut. Bagi membolehkannya mendapat akses, terdapat
lelaki yang mula menyamar menjadi wanita, meletakkan gambar mana-mana wanita
yang boleh dijumpai secara mudah tertebaran di interent, diletakkan sebagai
dirinya. Melalui cara itu, lelaki ini berjaya menjadi friend dan menonton
seluruh gambar wanita terbabit dan berbuat apa yang disukainya dengan gambar
itu.
Si wanita yang pada asalnya merasa
selamat kerana merasakan dirinya telah menapis sebaiknya, rupanya masih
terdedah gambarnya kepada yang orang yang tidak sepatutnya. Kerana itu, walau
anda hanya membenarkan friend untuk menatapi gambar anda, pastikan semua gambar
tersebut masih terhad dan terjaga.
4) Download gambar untuk simpanan dan tatapan.
Dimaklumkan juga, akibat dek kerana
gambar wanita yang terlalu ‘bersepah' difacebook, terdapat lelaki berhati buas
yang memuat turun gambar tersebut dan disimpan sebagai koleksi peribadinya.
Justeru, sedarlah, mana-mana wanita yang dikurniakan Allah punyai ‘rupa' yang
menurut pandangan ramai sebagai elok dan menawan. Golongan sebegini amat perlu
sekali lebih berwaspada lebih daripada mereka yang lain.
Malangnya, golongan sebegini kelihatan
lebih ghairah menjaja gambar mereka untuk mendapat lebih banyak pujian dan
...'DOSA'. Simpan sahajalah gambar-gambar 'kiut' (cute) anda, cukuplah ia buat
tatapan suami. Cukuplah pujian rakan sekeliling yang benar-benar mengenali
anda. Tidak perlulah tamakkan pujian manusia luar.
Tunggu sahajalah pujian para malaikat dan
bidadari di Syurga nanti, terlampau tidak sabarkah wahai diri? Sedarilah,
ke'kiut'an anda mungkin menjadikan sebuah rumahtangga hancur, kecemburuan
wanita lain, kerana boleh wujud gejala suami yang membanding-bandingkan wajah
dan tubuh anda dengan isterinya. Jika itu berlaku, pemilik gambar mendapat saham
dosa.
5) Tagging gambar tanpa izin dan gambar silam
yang membuka aurat.
Tagging atau menandakan sesuatu gambar
yang disiar merupakan satu fungsi mudah untuk menyebarluaskan gambar seseorang
termasuk diri sendiri kepada kenalan dan rakan. Malangnya fungsi ini menjadi
sumber dosa yang banyak juga dewasa ini. Isu ini juga pernah ditulis oleh
beberapa penulis lain seperti Ust Abu Umair dan Sdr Shahmuzir. Saya ingin
menegaskan lagi tulisan mereka.
Ini adalah kerana, terdapat ‘trend'
menyebarkan gambar-gambar lama, dan kemudian meletakkan tagging kepada individu
di dalam gambar. Perlu disedari, setiap gambar yang di'tag', akan muncul dan
boleh dilihat oleh semua friend, dan rakan kepada friend tersebut juga boleh
menontonnya.
Ini boleh menjadi dosa, kerana :-
a-
Sebahagian individu di dalam gambar terbabit mungkin dahulu tidak
menutup aurat, tetapi kini telah menutup aurat. Justeru penyebaran gambarnya
yang tidak menutup aurat adalah haram.
b-
Individu terbabit berada di dalam rumah, bersama keluarga, justeru
penutupan auratnya tidak begitu sempurna kerana di dalam rumah sendiri atau di
dalam keadaan ‘candid', tetapi akibat ketidakperihatinan sebahagian ahli
keluarga terhadap hal aurat. Gambarnya yang sedemikian tersebar. Sepatutnya,
kita yang di'tanda' boleh dengan segera delete 'tag' itu, hasilnya walau gambar
masih tersiar tetapi ia tidak mempunyai sebarang pengenalan. Itu paling kurang
boleh dilakukan oleh individu yang prihatin dan berawas-awas. Namun malangnya,
sebahagian pemilik facebook tidak sedar mereka boleh ‘untagged' nama mereka.
Malah kalau mereka boleh untagged sekalipun, penyebaran gambar sedemikian tetap
salah dan berDOSA di dalam Islam.
c-
Gambar mengaibkan orang lain. Gambar yang disiarkan itu, walaupun
menutup aurat, tetapi dalam situasi mengaibkan. Mungkin ia tidak mengaibkan
individu yang menyiarkannya kerana dia dalam keadaan baik dan bagus. Namun
rakannya berada dalam situasi mengaibkan, tambahan pula dia kini merupakan
‘seseorang' yang terhormat, punyai kedudukan baik di mata masyarakat,. Apabila
gambar sedemikian disiarkan, ia mencemar nama baiknya. Penyiaran sebegitu sama
seperti mengutuknya secara langsung di khalayak ramai, sama ada sengaja atau
tidak, semua perlu sedar..anda mungkin bebas menyiarkan gambar anda, namun
gambar orang lain. Keizinan perlu diperolehi terlebih dahulu sebelum siaran
dibuat.
6. Mengutuk diri sendiri & kebaikan
Adakalanya terdapat juga wanita-wanita
berpenampilan cukup solehah, berpakaian extra caution dalam bab aurat sewaktu
zaman universiti atau sekolahnya. Namun sesudah masuk ke alam pekerjaan dan
perkahwinan, imejnya berubah begitu drastik dengan make up cukup jelas
menghiasi wajah, baju bekerlipan warnanya, yang tebal dahulu sudah jadi nipis,
adakalanya tidak sempurna dan macam-macam lagi. Alasannya? Seribu satu macam.
Suami pula mungkin bukan dari jenis yang cermat untuk menegur dan menasihat.
Yang menyedihkan, apabila tersiar gambar
lamanya yang berpakaian extra caution lagi sopan di facebook, disiarkan oleh
rakan-rkana lama. Tuan punya tubuh, kelihatan tanpa malu dan segan mengutuk
dirinya sendiri sama ada secara langsung atau tidak langsung. Lahirlah kata-kata, ‘zaman aku ekstrem',
‘zaman solehah', ‘waktu innocent', zaman-zaman suci', 'itu zaman kuno dulu',
'itu masa duduk bawah tempurung' dan lain-lain frasa yang sepertinya.
Tanpa disedarinya, ia mendedahkan keaiban
dirinya sendiri, apabila berkata zaman solehah, bermakna kini adakah dia
mengaku tidak lagi solehah?, kini tidak suci?. dan lain-lain. Ia juga sekaligus
seolah mengutuk pemakaian sopan dirinya dahulu. Ingatlah wahai diri, jika tidak
mampu istiqamah atas pakaian dan penampilan dahulu, janganlah sampai
mengutuknya. Kerana ia sama seperti mengutuk pakaian yang sopan lagi baik,
seolah mendahulukan yang kurang baik.
KESIMPULAN
Itulah facebook, ia boleh menjadi sumber
pahala, jika diguna dengan betul, boleh menjadi pemudah azab jika digunakan
tanpa ilmu dan limitasi. Berhati-hatilah dan berpada-padalah pemilik facebook.
Niat untuk mendekatkan ukhuwwah antara
rakan lama, sekolah dan sebagainya tidak sama sekali boleh menghalalkan
sembangan mesra, gurauan senda di antara suami dan isteri orang, antara lelaki
dan wanita yang bukan mahram. Ia hanya akan membawa kepada kemudaratan dan
keruntuhan rumahtangga. Janganlah lagi mempermainkan nama 'ukhuwah' untuk
berbuat dosa.
Ukhuwwah itu hanya terhad sesuatu yang
membawa kepada ingatan kepada Allah, mengajak kebaikan dan menjauh kemungkaran.
Lihatlah surah al-Hujurat dan fahamkan kalam Allah sebaiknya akan erti ukhuwwah
di kalangan mukmin.
Sekian
Zaharuddin Abd
Rahman
3 Mei 2010
Sumber : zaharuddin.net
No comments:
Post a Comment