Teknologi
dan dakwah. Dua perkara yang sangat berbeza pada zahirnya. Tetapi mempunyai
hubungan dan kaitan yang sangat rapat lebih-lebih lagi dalam arus dunia
globalisasi ini. Realiti sekarang,kita terlalu bergantung pada teknologi dari
sekecil-kecil perkara sehinggalah sebesar-besar perkara tanpa kita sedari.
Sehinggakan ada yang menganggap sebahagian daripada alatan-alatan elektronik
seperti telefon bimbit dan komputer riba adalah perkara yang perlu ada dalam
hidupnya.
Minda
manusia pastinya berbeza. Ada yang mengganggap teknologi hanya sekadar
teknologi yang akan memudahkan kerja sehariannya. Contohnya seperti internet,
ada segelintir golongan yang mengganggap internet hanya mampu membantu dirinya
bagi mencari maklumat-maklumat penting. Dan lebih malang lagi, ada juga yang
menyalahgunakan internet sebagai tempat untuk mengumpul dosa. Namun bagi
seorang pendai’e yang kreatif, pasti dia akan menggunakan segala ruang dan
peluang yang ada untuk menyebarkan dakwah. Dai’e yang bijak tidak akan hanyut
dibawa arus globalisasi yang semakin menjadi-jadi sebaliknya akan mengikut arus
kemajuan tersebut untuk turut mengalirkan dakwahnya. Tidak dinafikan, bukan
mudah untuk menyampaikan mesej dakwah, apatah lagi menjadikannya mendapat
perhatian dan minat ramai.
Allah SWT menyebut dalam surah Al-Qasas,
ayat 56 :
“Sesungguhnya kamu tidak akan dapat
memberi petunjuk kepada orang yang kamu kasihi, tetapi Allah memberi petunjuk
kepada orang yang dikehendaki-Nya, dan Allah lebih mengetahui orang-orang yang
mahu menerima petunjuk.”
Rasulullah SAW juga ada bersabda :
“Jika kamu menjadi asbab (pembawa) kepada
seseorang itu mendapat kesedaran dan petunjuk (Islam), ia lebih baik bagimu
daripada unta yang paling berharga (simbolik kepada nilai yang sangat tinggi).”
(Riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Maka,
pendai’e seharusnya mampu sekali sekala bertukar teknik dan mencampuradukkan
kaedah penyampaian mereka selagi ia tidak bercanggah dengan prinsip Islam
contohnya dengan menghasilkan pelbagai video, fotografi, rekaan grafik, kartun
mahupun permainan video yang dapat memberikan faedah dan manfaat kepada
masyarakat. Ada juga yang dulu hanya bergantung kepada ceramah di masjid dan
surau, kini dilebarkan menerusi blog, website dan atau laman sosial seperti
Facebook. Maka, penguasaan ilmu dalam teknologi tersebut amat perlu supaya
mesej dakwah yang ingin disampaikan mampu diterima dengan baik.
Tidak
dinafikan ada beberapa caranya yang terdedah kepada kesan antara mudarat dan
manfaat. Namun, sewajarnya kita menggunakan segala teknologi yang ada pada masa
kini bagi menembusi pasaran ummah supaya lebih ramai yang dapat cuba disedarkan
dan dapat dirapatkan kepada Islam
Nukilan oleh :
Nur Amalina Abdul Malik
Timbalan Unit ICT
Lajnah Penerangan dan Penerbitan BKASM
Sumber : ubs-pmram
No comments:
Post a Comment