Jul 18, 2012

Meraih Ketaqwaan Di Bulan Ramadhan



Ketakwaan kepada Allah Azzawajalla merupakan asas gelombang kekuatan, asas bagi cahaya dan asas bagi pemberian sumbangan atau pengorbanan. Ketakwaan kepada Allah S.W.T sahajalah yang membolehkan seseorang mukmin membezakan antara yang hak dengan yang batil. Allah akan menjadikan satu cahaya kepada mereka yang bertakwa dan dengan cahaya tersebut mereka berjalan dikalangan manusia seluruhnya berpandukan dengan nur hidayah yang mereka bawa dan bersinarkan dengan  nur tersebut. 

Di dalam A-Quran Allah S.W.T telah berfirman :

" يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اتَّقُواْ اللَّهَ وَءَامِنُواْ بِرَسُولِهِ يُؤْتِكُمْ كِفْلَيْنِ مِن رَّحْمَتِهِ وَيَجْعَل لَّكُمْ نُوراً تَمْشُونَ بِهِ وَيَغْفِرْ لَكُمْ وَاللَّهُ غَفُورٌ رَّحِيمٌ  لِّئَلاَّ يَعْلَمَ أَهْلُ الْكِتَـبِ أَلاَّ يَقْدِرُونَ عَلَى شَىْءٍ مِّن فَضْلِ اللَّهِ وَأَنَّ الْفَضْلَ بِيَدِ اللَّهِ يُؤْتِيهِ مَن يَشَآءُ وَاللَّهُ ذُو الْفَضْلِ الْعَظِيمِ"

Maksudnya, “Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kamu kepada Allah dan tetaplah beriman kepada Rasul-Nya (Muhammad) supaya Allah memberikan kepada kamu dua bahagian dan rahmat-Nya dan menjadikan bagi kamu cahaya untuk kamu berjalan dengannya serta diampunkan dosa kamu dan ingatlah Allah amat Pengampun lagi amat Pengasihani.”

(Al-Hadid: 28)

Ibadah puasa melahirkan dan mentarbiyah seseorang yang beriman supaya menjadi orang yang bertaqwa kepadaNya, kerana di bulan Ramadhan amalan meninggalkan perkara-perkara yang membatalkan puasa dan membatalkan pahala puasa adalah secara praktikal, melatih seseorang itu bertaqwa kepada Allah dengan mengikut segala perintah dan meninggalkan segala laranganNya. Taqwa kepada Allah SWT  bukan dengan berpuasa di siang hari dan sembahyang pada malam hari, serta menyatukan diantara keduanya. Tetapi taqwa kepada Allah ialah meninggalkan apa yang diharamkan Allah SWT dan melaksanakan apa yang diwajibkanNya. Maka  barangsiapa yang dianugerahkan kebaikan sesudah itu, maka itulah kebaikan yang disusuli dengan kebaikan.

Keberjayaan dalam melakukan amal ibadah di bulan ramadhan adalah yang berhasil dalam meraih ketaqwaan dan berterusan di amalkan bukan sahaja pada bulan ramadhan tetapi berterusan selepas  berlalunya bulan ramadhan sehingga kita bertemu semula di bulan ramadhan akan datang. Untuk mencapai kejayaan dalam istiqomah melakukan sesuatu amalan mestilah melalui jalan atau panduan untuk menuju ketaqwaan .

1.    Perjanjian ( Mu’ahadah )

Allah telah berfirman,

وَأَوْفُواْ بِعَهْدِ اللَّهِ إِذَا عَـهَدتُّمْ وَلاَ تَنقُضُواْ الاٌّيْمَـنَ بَعْدَ تَوْكِيدِهَا وَقَدْ جَعَلْتُمُ اللَّهَ عَلَيْكُمْ كَفِيلاً إِنَّ اللَّهَ يَعْلَمُ مَا تَفْعَلُونَ

“Dan tepatilah perjanjian dengan Allah apabila kamu berjanji dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah) sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai penjamin kebaikan kamu sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.

(An-Nahl: 91)

Kaifiat (cara) perjanjian

Seorang mukmin itu berkhalwat disuatu tempat di mana wujud di sana hanya Allah S.W.T dan dirinya sahaja. Di dalam munajat tersebut ada ikrar atau perjanjian manusia dengan Allah iaitu tidah mengabdikan diri melainkan kepada Allah S.W.T, tidak meminta pertolongan selain Allah S.W.T, beriltizam di atas jalan Allah yang lurus dan tidak ada sebarang padanya kebengkokan (jalan yang lurus) serta tidak akan melampaui batasan jalan-jalan mereka yang sesat dan di murkai Allah S.W.T.

Di dalam perjanjian ini Allah S.W.T. memberi peringatan supaya manusia sentiasa berwaspada dari sebarang amalan yang boleh membawa kepada kekufuran setelah ianya beriman, daripada kesesatan setelah mendapat petunjuk serta fasik setelah ia beriltizam.

Peringatan Allah S.W.T. kepada hambanya yang mengingkari perjanjian tersebut akibatnya segala kesesatan dan dosa ditanggung sendiri. Allah S.W.T tidak akan mengazab hambanya sebelum Allah mengutuskan Rasul kepada mereka untuk member petunjuk jalan yang benar dan batil.

2.    Muraqabah

Firman Allah S.W.T ,

الَّذِى يَرَاكَ حِينَ تَقُومُ وَتَقَلُّبَكَ فِى السَّـجِدِينَ

“(Allah) Yang melihatmu semasa engkau berdiri (mengerjakan) sembahyangdan (melihat) gerak gerimu di antara orang-orang yang sujud.”

(as-Syu’ara: 218 -219)

Pengertian muraqabah sepertimana dalam al-Quran dan Hadith ialah menghadirkan (merasakan) kebesaran Allah disetiap waktu dan mendampinginya ketika tersembunyi atau secara terang-terangan.

Kafiat (cara) Muraqabah

Seorang mukmin memastikan dirinya sebelum memulakan pekerjaan dan dipertengahan amalanya. Adakah segala amalan ketaatannya semata-mata untuk kepentingan dirinya atau mencari kepujian untuk ekmasyuran atau semata-mata beramal untuk mencari keredhaan Allah dan mengharapkan balasanNya. Sekiranya amalan yang dilakukan semata-mata kerana Allah S.W.T ia akan terus melakukannya tetapi sebaliknya jika semata-mata untuk kepentingan hawa nafsunya  ia tidak akan melakukannya.

Terdapat beberapa jenis muraqabah kepada Allah iaitu:

1)   Muraqabah kepadaNya ketika melakukan ketaatan, iaitu dengan melakukan sesuatu amalan dengan kesungguhan dan keikhlasan.
2)  Muaraqabah dalam meninggalkan maksiat, iaitu dengan bertaubat, penyesalan dan terus meninggalkannya.
3)    Muraqabah dalam melakukan perkara harus, iaitu dengan memelihara tatasusila dan bersyukur atas segala nikmatNya.
4) Muraqabah ketika menimpa musibah, iaitu menerima musibah dengan kerelaan dan menerimanya dengan redha dan sabar.

3.    Muhasabah

     Firman Allah S.W.T ,

يأَيُّهَا الَّذِينَ ءَامَنُواْ اتَّقُواْ اللَّهَ وَلْتَنظُرْ نَفْسٌ مَّا قَدَّمَتْ لِغَدٍ وَاتَّقُواْ اللَّهَ إِنَّ اللَّهَ خَبِيرٌ بِمَا تَعْمَلُونَ

“Wahai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah (dengan mengerjakan suruhan dan meninggalkan larangan-Nya) dan hendaklah tiap-tiap diri melihat dan memerhatikan apa yang telah lepas dari amalan-amalannya untuk hari esok (akhirat) dan sekali lagi diingatkan, bertakwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah amat meliputi pengetahuan akan segala yang kamu kerjakan.”

(Al-Hasyr: 18)

Muhasabah ialah seorang mukmin menghitung dirinya setelah melakukan sesuatu amalan. Dalam melakukan amalan harian sebagai mukmin mestilah menyediakan satu waktu khusus yang mana ia berjanji pada dirinya untuk diperbetulkan niatnya berterusan disetiap waktu dalam ketaatan, menunaikan kewajipan  dan jauh dari perasaan riak. Selain dari itu hendakalh bermuhasabah jika amalan kebaikkannya banyak hendaklah memuji Allah dan memohon kepada Allah untuk ditetapkan hatinya untuk terus melakukan ketaatan dan meningkatkan amalan. jika ia sedari bahawa amalannya sedikit hendaklah bertaubat, menyesali dan memohon keampunan kepada Allah S.W.T agar memelihara diri dari melakukan dosa dan mengahkiri kehidupannya dengan husnul khotimah.

4.    Mu’aqobah ( Balasan )

Firman Allah S.W.T ,

وَلَكُمْ فِي الْقِصَاصِ حَيَاةٌ يأُولِي الالْبَـابِ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ

“Dan dalam hukuman qisas itu ada jaminan hidup bagi kamu, wahai orang yang berakal fikiran, supaya kamu bertakwa.”

(Al-Baqarah: 179)

Mu’aqobah adalah seorang mukmin apabila ia meneliti dan menghisab dirinya lalu ia dapati kekurangan pada amalannya atau telah melakukan dosa, tidak sepatutnya ia membiarkan dosa-dosa yang telah dilakukan dibiarkan begitu sahaja.  Ini kerana dengan sifat menganggap mudah  terhadap dosa yang dilakukannya akan rnendorongnya untuk kembali melakukan dosa
serta menyukarkannya untuk meninggalkan kemaksiatan. Bahkan kewajipan sebagai hamba mestilah menerima hukuman (deraan) keatas diri sendiri dengan hukuman yang sesuai dengan kesalahan yang dilakukan. Dengan hukuman ini bertindak sebagai penghalang dan memberi kesedaran  terhadap perbuatannya seterusnya membawa kepada ketaqwaan dan kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.

Hukuman yang dilakukan mestilah tidak sampai kepada yang haram seperti mengazab satu anggota badan dengan menggunakan api, menghalang diri dari makan dan minum kerana kesemua contoh hukuman ini boleh memberi kemudharatan. Sepertimana Allah S.W.T telah berfirman dalam surah al-Baqarah ayat 195 yang bermaksud “Dan janganlah kamu mencampakkan diri kamu ke lembah kebinasaan “.

5.    Mujahadah

Firman Allah S.W.T,

وَالَّذِينَ جَـهَدُواْ فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا وَإِنَّ اللَّهَ لَمَعَ الْمُحْسِنِينَ

“Dan orang-orang yang berusaha dengan ber sungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama kami, sesungguhnya kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan kami (yang menjadikan mereka bergembira dan beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah beserta orang-orang yang berusaha memper baiki amalannya.”

(Al-Ankabut: 69)

Pengertian mujahadah sepertimana ayat di atas pabila seorang mukmin di selubungi perasaan malas dan cenderong kepada keduniaan serta gagal untuk melakukan amalan sunat dan ketaatan di waktunya, maka mestilah berusaha agar dapat menunaikan perkara-perkara sunat lebih banyak daripada sebelumya. Memaksa serta mewajibkan dirinya dengan penuh semangat untuk berterusan melakukan amalan tersebut sehingga kesemua amalan ketaatan yang terpaksa dilakukan pada awalnya akan menjadi suatu kebiasaan dan sebati dalam dirinya.

Contoh mujahadah yang dilakukan oleh Rasululullah S.A.W melalui hadithnya:
 
Sepertimana  diriwayatkan daripada ‘Aisyah bahawa Baginda Rasululullah S.A.W berdiri di waktu malam (beribadat) sehinggakan bengkak-bengkak kaki baginda, lalu Aisyah bertanya:

“Untuk apakah ini semua sedangkan engkau sesungguhnya telah diampunkan Allah terhadap apa yang telah dan akan engkau lakukan. Lalu baginda menjawab; “Bukankah aku merupakan seorang hamba yang bersyukur.”

(Riwayat As-Syaikhan : Bukhari dan Muslim)

Dan berkata Aisyah sepertimana yang diriwayatkan oleh As-Syaikhan: “Adalah Rasulullah s.a.w., apabila masuk sepuluh hari (dari bulan Ramadhan), maka baginda menghidupkan malam (sembahyang malam) dan membangunkan keluarganya serta bersungguh-sungguh beribadat dan tidak mencampuri isteri isterinya.”

Mujahadah dalam menghambakan diri kepada  Allah dengan mengerjakan amalan sunat dan ketaatan kepada Nya adalah merupakan  suruhan baginda Rasulullah S.A.W  supaya para pendakwah serta para ulamak dan para pewaris nabi, merekalah  yang mula-mula sekali mengamalkan serta sentiasa melakukannya.

Dalam kita bermujahadah kepada Allah S.W.T hendaklah menelita dua perkara yang penting, antaranya:

1. Janganlah dalam melakukan ibadah sunat kita melalaikan hak-hak orang lain. Seperti seseorang menunaikan kewajipan kepada Allah dalam perkara-perkara sunat tetapi mengabaikan nafkah kepada ahli keluarganya dan hak-hak terhadap dirinya sepertimana sabda Rasulullah S.A.W yang bermaksud :

“Sesungguhnya di atas diri engkau ada kewajipan kepada Allah, begitu juga engkau berkewajipan ke atas diri engkau sendiri dan ahlikeluarga engkau. Oleh itu berikanlah hak-hak kepada mereka yang berhak.”

(Riwayat Bukhari)

2.   Seseorang mukmin tidak memberatkan dirinya dalam mengerjakan perkara sunat melebihi tahap kemampuannya.

Oleh yang demikian, jalan untuk menyucikan roh ketakwaan, menyuburkannya dalam hati dan jiwa para mukmin dapat disebatikan didalam perasaan dan kesedaran melalui lima jalan menuju ketaqwaan iaitu perjanjian, muraqabah, muhasabah, mu’aqobah dan mujahadah.

Mudah-mudahan keseluruhan jalan yang kita ikuti  akan meninggkatkan iman dan taqwa kita kepada Allah S.W.T di bulan Ramadhan ini, kerana ketaqwaan merupakan  satu langkah untuk sampai mengikut kehendak Allah S.W.T dengan naungan kemuliaannya, kemuncak kebaikkan dan setinggi martabat.

Wallahu ‘alam…

Di sediakan oleh:

Hanisah bt Hj. Muslim
Felo MANHAL PMRAM 2012

Rujukan
1.    Al-Quran Al-Karim
2.    Hadith Sohih Bukhari Dan Muslim
3.    Kitab Ruhaniyyah Ad-Da’iah- Oleh Abdullah Nasih Ulwan
4.    Kitab Mukhtasar Minhaj Al-Qasidin

Sumber : manhal-pmram

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015