Solat Sunat Terawih
Merupakan solat sunat 2 rakaat (berserta
satu salam) yang khusus pada bulan Ramadan sahaja. Ia merupakan salah satu
anugerah yang diberikan di dalam bulan Ramadan. Waktu untuk melakukan solat
sunat terawih ialah selepas waktu Isyak dan sebelum masuk waktu Subuh.
1) Solat tahajud
2) Solat duha
3) Solat terawih
DALIL PENSYARIATAN
Aisyah raidallahu ‘anha berkata
Nabi SAW keluar ke masjid untuk bersolat pada waktu malam (bulan Ramadan). Maka
sahabat melihat baginda solat, lalu mereka solat bersama-sama baginda SAW,
sehingga semakin hari sahabat semakin ramai (dikatakan masjid penuh). Pada hari
ketiga atau keempat sahabat menunggu kedatangan Nabi SAW, namun baginda SAW
tidak keluar. Tatkala subuh, sahabat menghadap Nabi SAW lalu baginda SAW
bersabda,
أَمّا بَعْدُ إِنَّهُ لَمْ يَخِفْ عَلَيَّ
شَأْنُكُم اللَيْلَة وَلَكِنِّي خَشِيتُ أن تفْرضُ عَلَيْكُم صلاةُ الليل
فَتُعْجِزُوا عنها
"Sesungguhnya tidaklah ia menegah
akan aku untuk keluar (untuk solat terawih pada malam seterusnya) melainkan aku
bimbang kamu akan merasakan ia adalah fardu dan akhirnya kamu tidak akan mampu
lakukannya."
(Ibnu Hibban)
Ini adalah dalil yang menunjukkan solat
sunat terawih dilakukan pada malam Ramadan. Di dalam riwayat yang diceritakan
oleh Aisyah raidallahu ‘anhu menunjukkan solat terawih merupakan solat
sunat dan bukannya fardhu kerana pada malam ke-3 atau ke-4[3],
ketika para sahabat sedang menunggu dengan kehadiran yang begitu ramai sehingga
masjid ketika itu menjadi sempit, Nabi Muhammad SAW tidak keluar kerana bimbang
para sahabat akan menganggap bahawa solat terawih merupakan suatu kewajipan ke
atas mereka pada setiap malam Ramadan.
Cara melakukan solat
sunat terawih
Solat sunat terawih dilakukan khusus di
dalam bulan Ramadan sahaja dan sudah dikira melakukan solat terawih walaupun
melakukannya berseorangan. Namun, disunatkan untuk berjemaah di masjid. Dan
sunat ketika solat terawih menghidupkan bacaan al-Quran, selain daripada
surah-surah lazim. Afdal menghabiskan satu juzuk satu malam, untuk
mengkhatamkan al-Quran di dalam solat terawih. Solat terawih dilakukan 2 rakaat
satu salam sehingga 8 rakaat atau 20 rakaat. Disunatkan juga melakukan solat
witir selepas solat terawih.
Bolehkah melakukannya 4 rakaat satu
salam?
Tidak sah melakukan solat terawih dengan
4 rakaat (atau lebih) dengan satu salam sekiranya orang tadi melakukannya dalam
keadaan sengaja dan mengetahui bahawa solat terawih itu dilakukan dengan 2
rakaat berserta satu salam. Sekiranya tidak tahu, maka tidak mengapa dan solat
yang dilakukannya tadi dikira sah.[4]
Kisah solat terawih di zaman Khalifah
Sayidina Umar Radiallahu ‘Anhu
Pada zaman khalifah Sayidina Umar raidallahu
‘anhu, ketika bulan Ramadan umat Islam di Madinah yang berhimpun di masjid
semakin ramai. Bahkan menjadi berpuak-puak dalam satu masjid mengerjakan solat
terawih. Kemudian bagi menyelaraskan, Sayidina Umar raidallahu ‘anhu
pada ketika itu menghimpunkan supaya menjadi satu kelompok atau jemaah sahaja.
Maka dihimpunkan orang Islam ketika itu di belakang Ubai bin Ka'ab.[5]
8 rakaat atau 20 rakaat?
Khilaf di antara manusia pada zaman
sekarang adalah berapakah rakaat sebenar bagi solat terawih? Ada sesetengah
yang mengatakan 8 rakaat kerana Rasulullah SAW hanya melakukan 8 rakaat sahaja
ketika bersama para sahabat. Sebahagian yang lain pula mengatakan 20 rakaat.
Bagi mereka yang mengatakan solat terawih
adalah 8 rakaat, mereka mengambil hujah daripada kisah yang berlaku pada zaman
Nabi SAW melakukan solat terawih dan para sahabat yang mengikutinya.
Namun dalil dan hujah yang banyak
menunjukkan solat terawih itu 20 rakaat. Akan disebut sebahagian sahaja di
sini. Antaranya ialah:
Di dalam kitab fikah Hasyiah Baijuri,
oleh Imam Baijuri menulis di dalam kitabnya bahawa Nabi SAW dan para sahabat
ketika itu melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat dengan cara 8 rakaat
secara berjemaah dan baki rakaat, baginda SAW dan sahabat melakukannya di rumah
masing-masing. Dikhabarkan sekiranya melalui di tepi rumah-rumah mereka ketika
itu, maka akan kedengaran seperti bunyi lebah.
Di dalam kitab Mausu'ah Yusufiah
karangan Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad, beliau menyatakan bahawa pendapat
daripada Mazhab Hanafi, Syafie dan Hanabilah solat terawih di sisi mereka adalah
20 rakaat dengan menyatakan para sahabat di zaman Umar, Usman dan Ali melakukan
sebanyak 20 rakaat[6].
Imam Syafi'e berkata, “Kami mendapati
umat Islam di Makkah melakukan solat terawih sebanyak 20 rakaat.[7]
Daripada Malik bin Anas daripada Yahya
bin Abi Sa'id Al-Ansori berkata, “Sesungguhnya Umar Al-Khattab mengarahkan
manusia ketika itu untuk solat terawih sebanyak 20 rakaat.”[8]
Daripada Ibnu Abbas raidallahu ‘anhu
berkata, “Adalah Nabi Muhammad SAW mengerjakan solat terawih di dalam bulan
Ramadan sebanyak 20 rakaat dan solat witir.”[9]
Justeru, tiada masalah untuk melakukan
solat terawih sebanyak 20 rakaat kerana terdapat lagi banyak hujah yang jelas.
Walaupun begitu, solat sunat terawih sudah terhasil walaupun hanya melakukan 2
rakaat sahaja.[10]
Tazkirah mengiringi
solat terawih
Berlaku juga pertanyaan berkenaan dengan
beberapa tempat yang melakukan solat terawih dan diiringi dengan tazkirah sama
ada sebelum solat, ketika rehat sebentar selepas habis 4 rakaat atau 8 rakaat
atau selepas 20 rakaat. Melakukan tazkirah bukanlah satu masalah. Bahkan di
antara tujuan solat itu sendiri dikerjakan adalah cara mendidik jiwa manusia
agar mencegah perkara maksiat dan keji.
Jika kita lihat kembali,
apa yang menjadi masalah untuk melakukan tazkirah? Bukannya tazkirah tersebut
dilakukan sewaktu sedang solat. Sekiranya dilakukan sewaktu solat memanglah
tidak boleh dan batalnya solat tersebut kerana dikira berkata-kata apatah lagi
dengan menggunakan bahasa Melayu. Maka tiada masalah tazkirah dilakukan sama
ada pada awal solat atau ketika rehat sebentar di tengah-tengah solat atau
selepas selesai 20 rakaat.
Bahkan, tazkirah
merupakan satu jalan untuk mengingatkan manusia yang sedang berhimpun dalam
solat terawih pada ketika itu. Hal ini kerana pada zaman sekarang, bukan semua
yang faham dan dapat mengambil iktibar daripada hasil bacaan imam ketika solat.
Rata-rata mereka tidak faham, lebih-lebih lagi mereka yang tidak menguasai
bahasa Arab. Maka, tazkirah yang dilakukan di luar ini merupakan satu
alternatif yang baik bagi mengajar dan mendidik manusia pada ketika itu.
Tambahan pula, tazkirah itu dapat disampaikan kepada orang ramai yang sedang
berhimpun dan di dalam bulan Ramadan.
"Oleh itu
berilah peringatan (kepada umat manusia dengan ajaran al-Quran), kalau-kalau
peringatan itu berguna (dan sudah tentu berguna). Kerana orang yang takut
(melanggar perintah Allah) akan menerima peringatan itu.” (Surah Al-'ala :
9-10)
Wallahu a'lam
** petikan daripada buku "Ramadhan :
Puasa & Iktikaf" karangan Muhamad Zuhaili Saiman, cetakan pertama
2009, Izin Terbit Persekutuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM)
[1] Solat nawafil ghaira tabi'ah lil faraid – solat sunat yang tidak beriringan dengan
solat fardu, berbeza dengan solat sunat rawatib yang beriringan dengan solat
fardu.
[3] Berlaku banyak pendapat, yang paling mayshur
nabi Muhammad SAW keluar 3 malam sahaja iaitu pada malam ke-23, 25 dan 27.
[5] Di dalam kitab
Hasyiah Baijuri dinyatakan bahawa muslimat ketika itu dihimpun di belakang
Sulaiman Abu Hathamah.
[7] Fiqh sunnah
dan At-Tirmizi - الموسوعة
اليوسفية في أدلة الصوفية karangan
Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[8] Al-Mughni Li
Ibni Qadamah - الموسوعة
اليوسفية في أدلة الصوفية karangan
Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[9] Ibnu Abi
Syaibah - الموسوعة
اليوسفية في أدلة الصوفية karangan
Ustaz Doktor Yusuf Khattor Muhammad
[10] Kitab التقريرات السديدة في المسئل المفيد bab puasa karangan Syeikh Hasan ibnu Ahmad ibnu
Muhammad Al-Kaf.
Sumber :
manhal-pmram
No comments:
Post a Comment