Jul 1, 2012

Tawan Hati Dengan Akhlak


Pemergiannya sangat dirasai oleh seluruh umat seisi dunia sehingga hampir sahabat karibnya tidak dapat mempercayai perkara itu. Dan hampir-hampir ada yang ingin memancung leher sesiapa yang menyatakan bahawa sahabatnya itu telah tiada.

Setelah kewafatan Nabi Muhammad SAW, Abu Bakar bertanya orang yang rapat dengan baginda, "Apakah lagi amalan yang baginda lakukan tetapi masih belum aku lakukan?"

Pada setiap hari Nabi Muhammad SAW akan pergi ke pasar untuk menyuap makanan pada seorang Yahudi yang buta. Maka, Abu Bakar pun melakukannya. Setelah suapan pertama diberikan, orang Yahudi itu meludah makanan itu seraya berkata, "Kamu bukan orang yang selalu datang kepadaku. Suapanmu kasar, tetapi suapannya lembut, perlahan dan mudah dikunyah."

Abu Bakar terkejut dan menangis lalu menyatakan bahawa orang itu adalah Nabi Muhammad SAW yang engkau caci dan cerca setiap hari dan baginda telah wafat. Dan akhirnya, orang Yahudi itu memeluk Islam.

Begitulah akhlak yang ditunjukkan oleh Rasulullah SAW. Dengan akhlaknya sahaja, sudah cukup untuk membuatkan orang tertarik pada dirinya.

Keunggulan Rasulullah SAW bersifat sempurna dan menyeluruh. Lidahnya menuturkan ajaran al-Quran, peribadinya menterjemahkan dengan tindakan.

Imam al-Ghazali menyatakan : “Akhlak ialah suatu sifat yang tertanam dalam jiwa yang daripadanya timbul perbuatan-perbuatan yang mudah tanpa memerlukan pertimbangan terlebih dahulu.”

Akhlak ialah kebaikan yang datang daripada hati, bukan untuk ‘ambil hati’. Yang sukar terasa mudah apabila amalan itu telah sebati dan serasi dalam diri. Sebagai contoh, apabila kita melihat orang yang berada dalam kesusahan dan meminta bantuan daripada kita. Kemudian, kita berfikir dan membuat pertimbangan sama ada ingin membantunya atau tidak. Itu bukan dinamakan berakhlak.

Inilah yang dimaksudkan oleh Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud : “Dan seseorang lelaki yang bersedekah lalu ia menyembunyikannya sehingga tangan kirinya tidak tahu apa yang diinfakkan oleh tangan kanannya.”

(Riwayat al-Bukhari)

Contohilah kisah sahabat, Abdul Rahman bin Auf yang sanggup mengorbankan hartanya demi Islam tercinta. Apa yang kita miliki, bukan hak kita sepenuhnya. Yakin dan percayalah, Allah itu Maha Adil dan luas rezekiNya.

Janganlah kita menjadi seorang yang bakhil, yang mana kita tidak sanggup untuk memberi sedikit harta yang dikurniakan oleh Illahi, walau hanya sedikit cuma. Mari tingkatkan amal di bulan barakah ini untuk mendidik hati dan jiwa dalam menuju madrasah Ramadhan.

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

“Ya Allah, berkatilah kami dalam Rejab dan Sya’aban dan sampaikanlah kami kepada Ramadhan.”

Amin..

Sumber: hewi.pmram

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015