بسم
الله الرحمن الرحيم
Assalamualaikum w.b.t…
Segala puji
bagi Allah, Tuhan yang Maha Agung yang memiliki seluruh Alam. Setinggi-tinggi
kesyukuran kita panjatkan ke hadrat Allah Subhanahu Wataala, di atas segala
nikmat yang telah dianugerahkanNya kepada kita semua. Semoga dengan
nikmat-nikmat yang Allah kurniakan, dapat kita tingkatkan lagi keimanan dan
ketaqwaan kita kepada Allah SWT.
Selawat dan salam juga buat junjungan besar kita, Rasulullah SAW,
kaum keluarga dan sahabat-sahabat baginda serta orang-orang yang mengikut jejak
langkah mereka sehingga hari kiamat.
Maulid Nabi Muhammad s.a.w bergema lagi yang mana pada bulan
Rabi’ul Awal adalah detik-detik bersejarah yang paling penting yang perlu
diingati oleh seluruh umat Islam di dunia ini kerana bulan tersebut merupakan
bulan kelahiran jungjungan besar kita iaitu Nabi Muhammad s.a.w. Tanggal 12
Rabi’ul Awwal iaitu pada tahun Gajah dan hari Isnin adalah tarikh dimana Nabi
Muhammad s.a.w dilahirkan.
Berkata Ibnu Ishak : “Rasulullah dilahirkan pada hari Isnin, 12
Rabi’ul Awwal tahun Gajah”.
Terdapat berbagai pendapat mengenai kelahiran baginda SAW. Ada yang
mengatakan 2 Rabi’ul Awwal, 8 Rabi’ul Awal, 10 Rabi’ul Awal dan 12 Rabi’ul Awal,
namun pendapat yang paling masyhur dan tepat adalah pada 12 Rabi’ul Awal.
Bilamana Nabi Muhammad SAW dilahirkan, disaat itulah bermulanya detik-detik
bersejarah dalam Islam iaitu detik-detik bermulanya kebangkitan agama Islam.
Sahabat sahabiah sekalin, meraikan maulid Nabi Muhammad
sebenarnya adalah untuk kita memperingati baginda Rasulullah SAW dan juga untuk
menaikkan semangat kita dalam berjuang dijalan Allah. Memperingati sirah
perjuangan baginda Rasulullah SAW yang berjihad demi mempertahankan kalimah
Allah dimuka bumi ini merupakan satu perkara yang cukup bermanfaat bilamana
kita sendiri mempraktikkan apa yang telah baginda lakukan. Baginda tidak pernah
mengalah dan berputus asa dalam berjuang demi melihat syariat Allah tertegak
dimuka bumi milikNya serta memastikan umatnya hidup dalam keredhaan Allah SWT.
Ketahuilah
sahabat sahabiah, ketika mana baginda hampir wafat, tiada perkara lain yang
baginda SAW ucapkan melainkan “ummati..ummati..ummati” iaitu
umatku..umatku..umatku.. Begitulah sayang dan cintanya Rasulullah s.a.w kepada
kita sebagai umatnya. Baginda SAW tidak sanggup melihat umatnya hidup dalam
kesesatan.
Sempena bulan kelahiran baginda s.a.w ini, marilah kita
singkap kembali sejarah perjuangan Rasulullah s.a.w dan contohilah sikap dan
akhlak yang dimiliki Rasulullah SAW. Firman Allah SWT didalam surah Al-Qalam,
ayat 4 :
وانك
لعلى خلق عظيم
Maksudnya : “Sesungguhnya engkau (Muhammad SAW) berada diatas
akhlak yang sangat agung”
Akhirnya, Rabi’ul
Awal yang telah datang ini cubalah kita jadikan satu peluang permulaan bagi
yang belum mula untuk kita dalami sirah perjuangan baginda serta menghidupkan
sunnah-sunnah baginda. Semoga dengan kita sentiasa berselawat dan memahami
sirah perjuangan Rasulullah membantu kita menghadapi detik-detik yang amat
menggerunkan di padang mahsyar kelak kerana antara salah satu perkara yang
dapat member syafaat kepada kita kelak adalah memperingati baginda Rasulullah SAW
dan banyakkan selawat ke atas baginda.
Wallahu’alam...
Mohd
Shobri Bin Mat Yaakub.
Bendahari,
Dewan
Perwakilan Mahasiswa Zagazig,
Sesi
2011/2012
No comments:
Post a Comment