May 22, 2012

Bulan Rejab dan Isra' Mi'raj



Assalamualaikum wbt…

Pertama dan selamanya, setinggi-tinggi syukur ke atas Allah Subhanahu wa Taala kerana sehingga kesaat ini masih lagi kita diberi peluang untuk menikmati segala kenikmatan dan selawat dan salam buat junjungan mulia Rasulullah SAW.

Sedar tak sedar, sekarang kita telah pun melangkah ke bulan Rejab sepertimana yang kita maklum bahawa bulan Rejab ini berlaku di dalamnya peristiwa agung iaitu Peristiwa Isra’ dan Mi’raj. Nabi Muhammad SAW yang menurut catatan sejarah terjadi pada tanggal 27 Rejab tahun kesebelas dari masa kenabian baginda, merupakan peristiwa penting yang disambut setiap tahun oleh seluruh umat Islam.

Dikatakan penting kerana peristiwa bersejarah tersebut merupakan sebuah peristiwa luar biasa, sebuah mukjizat daripada Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW yang tidak pernah dilberikan kepada rasul dan nabi sebelumnya. Hanya Nabi Muhammad SAW sahajalah yang diberikan anugerah dan kehormatan oleh Allah SWT untuk melakukannya sebagai petanda betapa tingginya penghargaan Allah SWT kepada Nabi Muhammad SAW dan apa yang paling penting dalam peristiwa ini disyariatkan solat lima waktu sehari semalam kepada umat Nabi Muhammad SAW.

Selain itu, bulan Rejab juga yang mana salah satu bulan yang banyak rahmat dan kelebihan diturunkan padanya. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Hendaklah kamu memuliakan bulan Rejab,nescaya Allah muliakan kamu dengan seribu kemuliaan di hari kiamat” dan “Kelebihan bulan Rejab dari segala bulan ialah seperti kelebihan Al-Quran ke atas semua kalam (perkataan)”

Amalan bersedekah dan berpuasa dalam bulan Rejab adalah digalakkan sepertimana hadis di bawah menunjukkan kelebihan-kelebihan amalan pada bulan Rejab. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud :

“Siapa bersedekah dalam bulan Rejab, seperti bersedekah seribu dinar, dituliskan kepadanya pada setiap helai bulu roma jasadnya seribu kebajikan, diangkat seribu darjah, dihapus seribu kejahatan”

dan baginda juga telah bersabda yang bermaksud :

“Semua manusia akan berada dalam keadaan lapar pada hari kiamat, kecuali para nabi, keluarga nabi dan orang-orang yang berpuasa pada bulan Rejab, Sya’ban dan bulan Ramadhan. Maka sesungguhnya mereka kenyang serta tidak ada rasa lapar dan haus bagi mereka”

Diharapkan kepada seluruh umat Islam umumnya dan ahli Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig khususnya dapat mengambil kesempatan ini sebaiknya dengan berusaha menggandakan amalan kita untuk mendekatkan diri kepada Allah Taala dan perbanyakkan berdoa kepadaNya sepertimana doa yang diamalkan oleh Rasulullah apabila datangnya bulan Rejab :

اللهُمَّ بَارِكْ لَنَا فِيْ رَجَبٍ وَشَعْبَانَ وَبَلِّغْنَا رَمَضَانَ

Diriwayatkan daripada Sayyiduna Anas bin Malik r.a. beliau berkata: Adalah Rasulullah apabila telah masuk bulan Rejab, Baginda berdoa: Ya Allah Ya Tuhan kami, limpahilah berkat kepada kami pada bulan Rejab dan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan.

(HR Imam Ahmad, ath-Thabarani dan lain-lain)

Wallahu’allam…

Fizree Bin Abu Bakar
Ketua Unit Sambutan dan Rehlah
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig
Sesi 2011/2012

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015