Gambar Hiasan
Solat dalam keadaan berkasut bukan
merupakan satu adat kebiasaan bagi umat Islam di Malaysia. Namun, adat
kebiasaan sepatutnya tidak dijadikan
sebagai hujah untuk kita memutuskan bahawa memakai kasut sambil bersolat tidak
disyariatkan oleh Islam. Segala dalil yang berkaitan terutamanya daripada
Al-Quran dan As-Sunnah perlu diteliti terlebih dahulu sebelum kita mengambil
sebarang keputusan berkaitan perkara ini.
Hukumnya sah berdasarkan dalil dari Sahih
Muslim pada bab (Rasulullah SAW membenarkan solat berkasut): Rasulullah SAW
membenarkan solat dalam keadaan berkasut dan bersandal selama mana ianya tidak
bernajis.
Dalil yang berkaitan
dengan bab ini ialah :
1)
Diriwayatkan oleh Adam Bin Abi Iyas berkata dari Syu`bah berkata
daripada Abu Maslamah Said Bin Yazid Al-Azyid RA katanya:
“Aku pernah bertanya
Anas bin Malik adakah Rasulullah SAW pernah bersolat dengan memakai kasut?”
Anas menjawab “Ya!”
(Hadis riwayat Sahih Bukhari no. 386,
Sahih Muslim no. 555 dan dalam Sunan Tirmidzi no. 396). Kemudian Abu Maslamah
mengatakan bahawa para ulama sepakat mengamalkannya.
2)
Imam Al-Iraqi di dalam syarahnya terhadap kitab Sunan Imam At-Tirmidzi :
"Bahawa solat
dengan memakai kasut diamalkan dan disukai oleh Umar Al-Khattab, Uthman Ibnu
Affan, Abdullah Ibnu Abbas, Anas bin Malik,Salamah bin Al-Akwa dan Aus ibnu
Ath-Tsaqafi radiyallahu anhu."
3)Ibnu Abi Aus berkata bahawa pakciknya
menerangkan bahawa
"saya melihat
RasullAllah menunaikan solat dengan memakai kedua-dua kasutnya"
(Hadis dari Sunan Ibnu Majah)
Solat dalam keadaan berkasut menurut
pandangan Ibnu Dakik adalah satu bentuk rukhsah (keringanan yang diizinkan
dalam keadaan tertentu) dalam ibadah solat dan bukannya perkara sunat kerana
ianya tidak termasuk dalam perkara yang dituntut ketika bersolat. Ianya boleh
dilakukan dengan syarat kita perlu memastikan dengan penglihatan biasa bahawa
tiada kesan-kesan najis atau kotoran yang melekat pada kasut.
Mengikut pandangan ulama, sekiranya
terdapat najis ianya boleh dibersihkan dengan menggosokkan kasut ke tanah untuk
menyucikannya dan kadar bersihnya memadai boleh dilihat dengan mata kasar. Imam
Syafie memberikan 2 pandangan iaitu sah dan tidak sah.
Kisah berkaitan
pensyariatan perkara ini
Amalan bersolat dengan memakai kasut ini,
sebenarnya bermula di awal penghijrahan umat Islam ke Madinah. Ketika itu
memang telah wujud beberapa kumpulan kaum Yahudi yang tinggal di sana. Apabila
Nabi Muhammad S.A.W dan umat Islam mendirikan solat di masjid yang baru dibina
dengan tidak berkasut maka berkata penduduk kaum Ansar Madinah, bahawa orang
Yahudi juga beribadah tanpa berkasut.
Maka dengan itu Nabi S.A.W memerintahkan
agar umat Islam bersolat dengan berkasut. Telah diriwayatkan daripada Abu Daud
dan Al-Hakim daripada Syadad Bin Aus berkata Nabi Muhammad SAW telah bersabda :
"Berperilakulah
yang berlawanan dengan orang-orang Yahudi kerana mereka tidak mengerjakan solat
dengan memakai sandal atau kasut mereka".
Adapun hadis berkaitan dengan mengenai
berkasut dalam solat merupakan suatu perkara yang diperintahkan yang diriwayatkan oleh Ibnu Adi dan Ibnu
Mardawiyah merupakan hadis dhaif.
Oleh itu,
sebab atau punca permulaan hukum diharuskan memakai kasut ketika
bersolat ialah bagi membezakan diri daripada perbuatan ibadah kaum Yahudi.
Islam sememangnya sejak dari awal kelahirannya amat menekan kepada umatnya agar
membezakan diri dari kaum-kaum yang lain. Ini termasuklah cara peribadatan,
cara berpakaian, adat kebiasaan dan sebagainya. Tuntutan ini ialah bagi
membuktikan Islam adalah agama yang unggul dan ia tidak bercampur aduk atau
hasil tiruan dari agama-agama lain. Membezakan diri dari agama lain juga
bermatlamat supaya kita dapat memastikan bahawa amal ibadat kita adalah tulen
dari ajaran Islam yang sejati dan bukan pinjaman dari agama lain.
Keadaan perlaksanaan
solat berkasut
Solat dalam keadaan berkasut boleh
dilakukan tanpa mengira masa. Rasulullah SAW melakukannya terutama ketika
bermusafir. Namun, Rasulullah SAW tidak melakukannya ketika bersolat di dalam
rumah Baginda SAW. Hal ini menunjukkan solat dalam keadaan ini perlu
dilaksanakan mengikut keadaan. Pada masa kini, kebanyakan masjid atau surau
telahpun dibina dengan binaan yang sempurna dan menyediakan hamparan sejadah,
permaidani atau simen sebagai alas bersolat. Oleh itu, solat dalam keadaan
berkasut tidak dituntut perlaksanaannya dalam keadaan ini kerana kawasan solat
yang bersih. Akan tetapi, sekiranya keadaan tersebut perlu maka tiada masalah untuk
menunaikannya melalui dalil-dalil yang
telah kita bentangkan sebentar tadi. Cuma perkara yang tidak biasa dilakukan
pastinya akan kekok ketika mana menunaikannya.
Kesimpulan
1)Solat dengan keadaan berkasut
dibolehkan dengan syarat ia bersih daripada najis.
2)Solat dengan keadaan berkasut ialah
sunnah Rasulullah SAW dan termasuk dalam perkara rukhsah dalam agama.
3)Syariat Islam diwahyukan oleh Allah dan
tidak akan menyerupai amalan agama lain.
4)Dalil agama perlu mengatasi adat
kebiasaan dalam menentukan hukum sesuatu ibadat.
Wallahu a’lam
Disediakan oleh :
Muhammad Zuhaili Bin
Zanal Ali,
Anggota Felo MANHAL
PMRAM 2012
_________________________________
Rujukan :
1)Sahih
Bukhari, hadis 386. Bab solat berkasut. Percetakan Maktabah As-thaqafah
Ad-diniah.
2)Sahih
Muslim Bisyarah Nawawi. Jilid Ketiga. Percetakan Maktabah Dar At-turath.
3)Fathul
Bari. Juzuk pertama. Percetakan Maktabah Obaikan.
Tambahan rujukan :
- Al-Fatawa Min Ahsan Al-Kalam Fi Al-Fatawa
Wa Al-Ahkam, , jilid pertama, oleh Syeikh Atiyah Saqar, cetakan Maktabah Wahbah
Sumber :
manhal-pmram
No comments:
Post a Comment