Dec 5, 2012

:: KELEBIHAN BULAN MUHARRAM ::

Rasulullah s.a.w telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah (shahrullahi). Sandaran yang dilakukan oleh Baginda s.a.w kepada Allah s.w.t lantaran kemuliaan dan kelebihan bulan ini kerana sesungguhnya Allah s.w.t tidak merujukkan kepadaNya melainkan oleh golongan khowas (terkhas) di kalangan makhluk - makhlukNya.


Daripada Al-Hassan Al-Basyry rahimahumullah sesungguhnya Allah s.w.t telah membuka lembaran tahun baru di dalam takwim Islam dengan bulan Muharram. Tidaklah kedapatan bulan yang lebih mulia dalam takwim Islam disisi Allah s.w.t itu selepas bulan Ramadhan melainkan bulan Muharram. Ianya dinamakan bulan Allah yang khas disebabkan besarnya kehormatannya.

Dari bilangan hari-hari dalam bulan Muharram tersebut sepuluh hari yang pertama di dalam bulan tersebut adalah lebih afdal. Terdapat alim ulamak yang mendakwa bahawa ianya adalah 10 hari di dalam bulan Zul Hijjah yang dengannya Allah s.w.t telah bersumpah sebagaimana di dalam Al-Quran (surah Al-Fajr ayat 1 & 2). Yang sohih mengenai 10 hari di mana Allah s.w.t bersumpah dengannya adalah hari dari bulan Zul Hijjah.

Apa yang diperolehi dari makna hadith abu Bakrah r.a tersebut adalah di mana Rasulullah s.a.w telah menghapuskan amalan orang-orang Jahilliyah di dalam mencampur adukkan serta mengubah-ubahkan kedudukan bulan - bulan haram tersebut dari kedudukan yang sebenarnya dari apa yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dari waktu penciptaan langit dan bumi. Semenjak waktu itu, manusia pun menyambut kedatangan setiap tahun baru dengan pengiraan bulan-bulan di dalam turutan yang sahih sehinggalah ke hari ini. Dengan demikian, tanpa sebarang keraguan di dalam kesahihan (sahnya) amalan haji dalam bulan - bulan yang diketahui tersebut. 

Oleh yang demikian hadis Abu Bakrah r.a itu bersesuaian dengan firman Allah s.w.t di dalam surah At Taubah ayat ke 36-37:

maksudnya:- "Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah adalah duabelas bulan di dalam ketetapan Allah di waktu Dia menjadikan langit dan bumi, di antaranya empat bulan haram. Itulah (ketetapan) agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiayai diri kamu di dalam bulan yang empat itu dan perangilah kaum musyrikin itu semuanya sebagaimana merekapun memerangi kamu semuanya dan ketahuilah bahawasanya Allah beserta orang-orang yang bertaqwa.."

:: KELEBIHAN BULAN-BULAN HARAM ::

Daripada Abu Bakrah (1), sesungguhnya Rasulullah s.a.w. telah bersabda, maksudnya :
Sesungguhnya zaman itu berputar sejak awal waktu Allah menjadikan langit-langit dan bumi. Satu tahun mengandungi dua belas bulan ini, darinya empat bulan haram, tiga dari empat bulan ini berturut-turutan iaitu Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram dan satu bulan berasingan ialah Rejab di antara Jamadil Akhir dan Syaaban.

Mengapakah dinamakan bulan-bulan haram?

Alim ulamak berselisih pendapat mengenai bulan-bulan ini sebagai bulan-bulan haram. Iaitu mengapakah ia dinamakan haram?.

Maka dikatakan bahawa ianya disebabkan kebesaran kehormatannya sebagaimana besarnya dosa yang dikira jika ia dilakukan di dalam bulan-bulan tersebut. Ibnu Abas r.anhuma telah berkata bahawa sesungguhnya Allah s.w.t telah menkhususkan ke empat-empat bulan tersebut sebagaimana ganjaran-ganjaran untuk amalan-amalan soleh yang dilakukan di dalam bulan-bulan tersebut besar juga.

Dikatakan juga ianya dinamakan bulan-bulan haram lantaran pengharaman peperangan dilakukan di dalam bulan-bulan tersebut dan ianya adalah amat dikenali di masa jahiliah. Dikatakan juga ianya dilakukan sejak zaman Nabi Ibrahim a.s. Dikatakan juga oleh alim ulamak bahawa dinamakan bulan-bulan haram itu dengan pengharaman peperangan demi ibadat haji dan umrah yang dilakukan di dalam bulan-bulan haram tersebut. Maka diharamkan bulan Zulhijjah disebabkan ibadat haji dilakukan di dalam bulan tersebut. Diharamkan bulan Zulkaedah lantaran bakal-bakal haji melakukan perjalanan ke Mekah di dalam bulan itu. Diharamkan bulan Muharram disebabkan di dalam bulan itu mereka yang mengerjakan ibadah haji akan kembali ke tempat masing-masing. Demikianlah agar mereka yang mengerjakan ibadah haji merasa aman terhadap keselamatan diri masing-masing dari mula mereka meninggalkan kampung halaman dan rumah-rumah mereka hinggalah waktu mereka kembali semula ke tempat masing-masing setelah mengerjakan haji tersebut. Manakala diharamkan bulan Rejab tersebut lantaran ibadat umrah yang dilakukan di dalam bulan tersebut iaitu pada pertengahan tahun.

Sesungguhnya Allah s.w.t telah mengesakan supaya menghormati bulan-bulan haram tersebut dan meninggalkan segala perbuatan maksiat. Ini adalah disebabkan maksiat yang dilakukan di dalam bulan-bulan tersebut akan mendatangkan osa yang besar. Kezaliman yang dilakukan di dalamnya adalah kezaliman yang besar.

Begitu juga Allah s.w.t telah menjelaskan kepada mereka bahawa perbuatan mengubah-ubah dan menukar-nukar urusan agama adalah dari kekejian yang paling dasyat. Ini adalah sebagaimana perbuatan mengundur-undurkan bulan-bulan haram itu adalah menambahkan kekafiran.Apa yang lazimnya adalah supaya mereka senantiasa melakukan apa sahaja yang telah diperintahkan Allah s.w.t, kepada mereka agar mereka melakukannya dan meninggalakan segala tegahan dan cegahan.

Sumber: Jabatan Mufti Melaka

  “Memartabat Keilmuan Memimpin Kesatuan”
 
Disediakan oleh:



Mohd Amirul Adli Bin Othman
Unit Dakwah Dan Pembangunan Insan
Dewan Perwakilan Mahasiswa Zagazig
Sesi 2012/2013

 

No comments:

Post a Comment

Muallif

My photo
Ketua Unit Penerangan & Penerbitan DPMZ 2014/2015